
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah menyalurkan peruntukan sebanyak RM32.5 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) menerusi pelbagai inisiatif pendidikan tahun ini bagi membantu sekolah dan pelajar, sekali gus memperkukuh usaha meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini.
Daripada jumlah itu, inisiatif berkenaan merangkumi enam bantuan utama iaitu Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS), Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One Off (SUKSES).
Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPNS, Krishna K.S @ Mohd Fadzli Abd Rozan berkata, bantuan berkenaan disalurkan bagi memastikan keberhasilan dan kejayaan kepada kita di Sabah.
“Bantuan ini ada beberapa kategori, antaranya ada yang untuk PIBG. Kita akan serahkan terus kepada PIBG kepada akaunnya.
“Manakala bagi murid, kita akan serahkan kepada murid sendiri serta kepada sekolah, contohnya ada bantuan untuk penyelenggaraan sekolah,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Inisiatif Pendidikan Kerajaan Negeri Sabah Tahun 2026, di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, Sabah juga antara negeri terawal di Malaysia yang menyediakan pembiayaan peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) kepada pelajar Tingkatan Enam daripada keluarga B40.
“Semua murid Tingkatan Enam yang ambil MUET ini, yang B40 memang dibayar. Diberi bayaran MUET,” kongsinya.
Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai inisiatif pendidikan lain, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA), Bantuan Graduan Rindu Sabah atau Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY) serta Sumbangan Mahasiswa Pendidikan Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).
Salah seorang penerima bantuan BAIK daripada mahasiswa Sains Perhutanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mahdi Ab Hasan berkata, BAIK yang diterimanya sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan sepanjang melanjutkan pengajian.
Beliau berkata, bantuan itu memudahkannya menyiapkan tugasan dan urusan pembelajaran tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk membeli komputer riba yang dianggarkan berharga lebih RM1,000.
“Saya berasa gembira kerana bantuan ini saya baru saja isi, tetapi saya terus dapatkan bantuan,” katanya yang kini berada pada semester tiga pengajian.
Sementara itu, mahasiswa Hubungan Antarabangsa UMS, Sudirman Arshad menyifatkan pemberian bantuan pendidikan tanpa mengambil kira perbezaan pandangan politik sebagai satu bentuk kematangan politik kerajaan negeri.
Sudirman yang merupakan pelajar yatim piatu daripada tujuh beradik berkata, bantuan BAIK amat bermakna kepada pelajar kurang berkemampuan sepertinya dalam meneruskan pengajian.
“Perbezaan pendapat dalam politik itu berbeza dengan kelayakan kita untuk mendapat bantuan,” katanya ketika mengulas mengenai penglibatannya dalam aktivisme mahasiswa dan peluang menerima bantuan berkenaan.
Sudirman turut berharap inisiatif pendidikan seumpama itu diperluas, khususnya ke kawasan luar bandar, termasuk membantu sekolah menengah yang masih berdepan kekurangan infrastruktur bagi melahirkan lebih ramai pelajar berkebolehan dan mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah.


