
IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan RM260.5 juta bagi melaksanakan 37 inisiatif bantuan dan manfaat langsung kepada rakyat menerusi Sentuhan Perak Sejahtera dalam Belanjawan 2027 berjumlah RM1.693 bilion, terbesar dalam sejarah negeri itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif berkenaan merangkumi pelbagai bentuk bantuan meliputi kos sara hidup, perumahan, pendidikan, sokongan kepada usahawan serta penghargaan kepada golongan yang banyak berjasa kepada negeri.
Menurutnya, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kemajuan ekonomi dan pembangunan Perak turut diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat dalam kehidupan seharian.
“Semakin baik kedudukan kewangan negeri, semakin luas ruang untuk kita menyediakan lebih banyak manfaat buat rakyat.
“Kita mahu kemajuan Perak dapat dirasai dalam kehidupan setiap keluarga, di bandar mahupun di desa,” katanya dalam kenyataan selepas pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, kerajaan negeri bukan sahaja memberi perhatian kepada pelaksanaan projek pembangunan berskala besar, malah turut mengambil kira keperluan asas rakyat termasuk isu harga barang, infrastruktur, masalah banjir, peluang pekerjaan, pendidikan anak-anak dan kebajikan keluarga yang memerlukan.
Belanjawan bertemakan Perak Makmur, Rakyat Sejahtera: Hasil Dirasa, Keyakinan Dibina itu memperuntukkan RM1.1 bilion bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM593 juta disediakan untuk pembangunan.
Peruntukan pembangunan itu meningkat RM25 juta atau 4.4 peratus berbanding tahun lalu, manakala jumlah keseluruhan belanjawan meningkat RM83 juta berbanding RM1.61 bilion pada 2026.
Saarani berkata, belanjawan berkenaan turut memberi penekanan kepada lima fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan negeri, pembangunan modal insan dan belia, kelestarian alam sekitar serta keterjaminan bekalan makanan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kutipan hasil negeri telah mencecah RM1.244 bilion setakat 23 November 2026, sekali gus meletakkan Perak pada landasan untuk mencatatkan lebihan kewangan bagi tahun ini.
“Insya-Allah, Perak berada di landasan untuk mencatatkan lebihan kewangan (surplus) lima tahun berturut-turut,” katanya.
Saarani berkata, kerajaan negeri berharap pertumbuhan ekonomi Perak dapat disusuli peningkatan pendapatan rakyat, manakala pertambahan hasil negeri membolehkan lebih banyak keperluan dan kebajikan rakyat dipenuhi.
“Harapan saya, apabila ekonomi Perak berkembang, pendapatan rakyat turut meningkat. Apabila hasil negeri bertambah, lebih banyak keperluan rakyat dapat kita penuhi,” katanya.



