
MUKAH – Kemiskinan bukan penghalang untuk seseorang mencapai kejayaan dalam kehidupan, sebaliknya disiplin, kesungguhan dan komitmen terhadap pendidikan mampu menjadi pemangkin untuk mengubah nasib diri serta keluarga.
Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan Sarawak Tribune, Datuk Dr Jeniri Amir berkata, pengalaman hidupnya yang dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan membuktikan bahawa pendidikan berperanan penting dalam membuka peluang untuk mencapai kehidupan yang lebih baik.
Menurutnya, kejayaan bukan sesuatu yang diperoleh dengan mudah, sebaliknya menuntut usaha berterusan, pengorbanan serta keazaman untuk memperbaiki diri.

Beliau turut mengingatkan generasi muda supaya membudayakan amalan membaca sebagai asas memperluas pengetahuan, membentuk pemikiran kritis serta meningkatkan keyakinan diri.
Jeniri berkata, kejayaan murid juga memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, guru dan komuniti dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang positif.
“Kejayaan anak-anak turut memerlukan sokongan padu daripada ibu bapa, pihak sekolah serta komuniti setempat, selain memanfaatkan sepenuhnya peluang pendidikan dan bantuan yang disediakan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Bestari Tellian kali ke-46 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian, pada Isnin.
Sebagai tanda penghargaan terhadap sekolah berkenaan, Jeniri turut mengumumkan sumbangan peribadi berjumlah RM10,000 bagi menyokong keperluan dan pembangunan pendidikan di SK Kampung Tellian.
Sementara itu, Guru Besar SK Kampung Tellian, Syazana Abdullah berkata, sekolah berkenaan mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila 82.4 peratus murid memperoleh sekurang-kurangnya Tahap Penguasaan 3 (TP3) bagi semua mata pelajaran.
Menurutnya, prestasi murid Tahun Enam dalam Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLPS 6) turut menunjukkan peningkatan positif.
Beliau berkata, sekolah itu juga merekodkan kadar kehadiran murid sebanyak 95 peratus, mengatasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak yang ditetapkan pada 94 peratus.
Pencapaian itu mencerminkan komitmen warga sekolah dalam memastikan murid mengikuti pembelajaran secara konsisten serta mendapat sokongan yang sewajarnya.
“Dari segi kokurikulum, murid kita berjaya mewakili sekolah hingga ke peringkat daerah, negeri dan kebangsaan dalam pelbagai pertandingan merangkumi sukan, akademik, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), serta inovasi, selain mencatatkan jumlah bacaan program NILAM antara yang tertinggi di daerah Mukah,” katanya.
Syazana berkata, pencapaian dalam bidang akademik dan kokurikulum itu turut didorong oleh usaha guru, sokongan ibu bapa serta penglibatan aktif murid dalam pelbagai program pembangunan sahsiah.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Jeniri atas sumbangan terdahulu berjumlah RM2,500 yang dimanfaatkan bagi penyediaan hadiah kecemerlangan murid, dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta penambahan bahan bacaan di perpustakaan sekolah.
Beliau berharap kerjasama dan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak dapat membantu SK Kampung Tellian melahirkan lebih ramai murid yang cemerlang dalam pendidikan, berakhlak mulia serta berdaya saing.



