
RANAU – Seramai 15 pensyarah daripada tiga institusi politeknik berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada ketinggian 4,095.2 meter dari aras laut menerusi program PKK Kinabalu Challenge 2027 yang berlangsung dari 13 hingga 16 November lalu.
Ekspedisi yang disertai pensyarah dari Politeknik Kota Kinabalu (PKK), Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Johor dan Politeknik Bagan Datuk (PBD), Perak itu mencatatkan kejayaan 100 peratus apabila kesemua peserta berjaya sampai ke puncak pada pagi 15 November.
Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PKK, Muhammaddin Mohd Jair berkata, program itu bukan sekadar aktiviti pendakian, sebaliknya menjadi platform pembangunan kompetensi warga pensyarah, khususnya dalam aspek ketahanan mental, kecergasan fizikal, pengurusan emosi dan kepimpinan.

“Keberhasilan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada kekuatan individu, sebaliknya memerlukan keupayaan untuk bergerak bersama, saling menyokong dan memastikan tiada seorang pun yang tertinggal.
“Kejayaan kesemua 15 peserta membuktikan bahawa dengan matlamat yang jelas, disiplin tinggi dan semangat kebersamaan, cabaran besar mampu diatasi,” katanya ketika dihubungi wartawan TMP, pada Selasa.
Beliau berharap nilai kepimpinan, daya tahan dan kerja berpasukan sepanjang ekspedisi dapat diterapkan dalam tugas harian bagi meningkatkan prestasi serta kualiti penyampaian pendidikan TVET.
Penyertaan pensyarah dari Sabah, Johor dan Perak turut membuka ruang kepada pengukuhan hubungan profesional melalui pengalaman pembelajaran di luar persekitaran akademik konvensional.
Kejayaan PKK Kinabalu Challenge 2027 itu membuktikan bahawa pembangunan profesional warga pendidik TVET boleh diperkasakan bukan sahaja melalui latihan formal, malah menerusi pengalaman berasaskan cabaran sebenar yang menguji keupayaan diri dan semangat berpasukan.



