
IPOH – Kerajaan Negeri Perak mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan dua bulan gaji kepada semua penjawat awam di bawah pentadbiran negeri sebagai penghargaan terhadap komitmen dan sumbangan mereka dalam memastikan kelancaran urusan pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bayaran penuh BKK itu akan dibuat pada 22 Disember ini, merangkumi ahli-ahli ex-officio, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) serta guru lantikan negeri yang dilantik menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Perak.
Katanya, pemberian itu turut melibatkan orang besar jajahan, pegawai lantikan secara contract for service serta kakitangan di bawah Kontrak MySTEP.
“Malah, kerajaan negeri turut memperluas pemberian bantuan berkenaan kepada barisan kepimpinan masyarakat di peringkat akar umbi sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam menyantuni dan menjaga kebajikan komuniti setempat.
“Ini termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan Kampung India serta Tok Batin Kampung Orang Asli yang masing-masing menerima BKK sebanyak RM600,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Selain itu, Saarani berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan bantuan RM400 kepada kumpulan pendidik yang berkhidmat dalam sektor pendidikan dan keagamaan negeri, termasuk Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), guru-guru KAFA, Guru I’dadi dan Thanawi, guru serta penyelia Tadika Islam, Guru Aiman dan Guru Agama Dakwah di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Negeri Perak.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Negeri serta semua Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) turut menerima insentif BKK bersamaan dua bulan elaun, dengan jumlah RM20,000 yang dijadualkan dibayar pada Januari tahun hadapan.
Menurut Saarani, pemberian tersebut mencerminkan penghargaan kerajaan negeri terhadap golongan yang menjadi tunjang kepada kelangsungan pentadbiran, khususnya mereka yang bekerja di belakang tabir dalam memastikan keperluan rakyat terus diberi perhatian.
Beliau berkata, setiap pencapaian yang dikecapi negeri hari ini bukan hanya hasil kepimpinan, sebaliknya turut didorong komitmen penjawat awam dan petugas di pelbagai peringkat yang sentiasa melaksanakan amanah meskipun berdepan pelbagai cabaran.
“Segala pencapaian yang kita banggakan hari ini turut terhasil daripada kesungguhan mereka yang bekerja di belakang tabir pentadbiran.
“Ada yang memastikan urusan rakyat diselesaikan, ada yang turun ke lapangan menyantuni masyarakat, dan ada yang terus memikul amanah walaupun berhadapan pelbagai cabaran,” katanya.



