
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengingatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 supaya tidak terlalu menekan diri dan menghadapi peperiksaan bertulis yang bermula hari ini dengan tenang.
Beliau berkata, calon perlu yakin dengan segala usaha dan persiapan yang telah dilakukan sepanjang tempoh menghadapi peperiksaan berkenaan.
“Tidur awal, rehat secukupnya dan masuklah ke dewan peperiksaan esok dengan hati yang tenang. Percayalah pada segala usaha yang telah anak-anak lakukan selama ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Fadhlina turut menyeru ibu bapa dan guru agar terus memberikan sokongan moral serta mendoakan kejayaan calon yang bakal menduduki peperiksaan itu.
“Anak-anak kita perlukan keyakinan bahawa apa pun keputusannya nanti, kita tetap bangga dengan usaha mereka,” katanya.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon SPM 2026 dan berharap mereka dapat memberikan prestasi terbaik sepanjang peperiksaan berlangsung.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), seramai 420,879 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2026 di 3,334 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Peperiksaan bertulis SPM 2026 berlangsung dari 23 November hingga 17 Disember.


