
KOTA KINABALU – Pakatan Harapan (PH) Sabah menggesa Kerajaan Persekutuan menyegerakan pembayaran baki RM900 juta bayaran interim berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Disember ini.
Pengerusinya, Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata, pembayaran itu penting bagi memastikan keseluruhan bayaran interim berjumlah RM1.5 bilion dapat dimasukkan dalam hasil negeri untuk membiayai keperluan rakyat menerusi Belanjawan Sabah 2027.
Katanya, sebanyak RM600 juta sudah dibayar, manakala baki RM900 juta kini berada pada peringkat akhir proses perundangan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk makluman.
“RM600 juta sudah selesai. Sekarang ini sudah diwartakan, dan cuma sekarang ini Pejabat Peguam Negara sedang di peringkat akhir meneliti,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat PH Sabah di sini, pada Jumaat.
Mustapha berkata, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Merican bagi menyampaikan hasrat kerajaan negeri supaya pembayaran itu disegerakan.
Menurutnya, proses pewartaan baki RM900 juta berkenaan dimaklumkan sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan hanya menunggu penyelesaian urusan teknikal sebelum dikemukakan kepada Parlimen.
Tambahnya, PH Sabah turut mencadangkan supaya pembayaran interim tuntutan 40 peratus hasil negeri dilaksanakan secara progresif dengan peningkatan nilai setiap tahun.
“Pendekatan itu bagi menggantikan kaedah semasa yang menetapkan jumlah pembayaran pada kadar sama sepanjang tempoh lima tahun.
“Jadi kita mahu dia dalam bentuk progresif. Berapa nilainya kita pulangkan kepada kerajaan megeri untuk berunding dengan Kerajaan Persekutuan dan nilai itu akan dipersetujui bersama,” kongsinya.
Mustapha berkata, kadar peningkatan tahunan itu perlu dirunding berdasarkan hasil yang dijana agensi Persekutuan di Sabah sehingga jumlah pembayaran mencapai nilai sebenar tuntutan 40 peratus berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan jumlah keseluruhan tuntutan itu masih dalam rundingan menerusi Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Induk Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Pelaksanaan pembayaran secara berperingkat turut bergantung kepada hasil rundingan antara kedua-dua kerajaan serta keupayaan fiskal negara,” ujarnya.


