
SHENZHEN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap kesediaan Presiden China, Xi Jinping meneliti gagasan Malaysia MADANI serta memperkukuh kerjasama kajian dan persefahaman antara peradaban Islam dengan Konfusianisme.
Anwar menyifatkan kesediaan pemimpin negara kuasa besar yang majoriti penduduknya bukan Islam itu sebagai satu penghormatan besar, selain memberi jaminan institusi pengajian tinggi Malaysia akan memberikan kerjasama penuh bagi menjayakan inisiatif berkenaan.
“Jarang berlaku dari satu negara bukan Islam yang majoritinya besar, mengambil keputusan menghormati pandangan kita dan bersetuju meneruskan kerjasama dalam mengkaji, memuliakan dan meningkatkan persefahaman peradaban Islam dan kebudayaan.
“Saya memberi jaminan kita akan berikan segala kerjasama dengan universiti menerusi beberapa langkah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Xi di sini, hari ini.
Menurut Anwar, kesediaan China menghormati pendekatan Malaysia dalam memartabatkan nilai peradaban dan kebudayaan membuktikan hubungan erat kedua-dua negara bukan sahaja tertumpu kepada aspek ekonomi, malah merangkumi persefahaman intelektual dan ketamadunan.
Perdana Menteri berada di Shenzhen dalam rangka lawatan kerja tiga hari bermula 18 November lalu bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Asia Pasifik (APEC) Ke-33.
Pertemuan di Rumah Tamu Negara Qilin Villa itu merupakan pertemuan rasmi keempat antara Anwar dan Xi selepas tiga pertemuan terdahulu di Beijing pada 7 November 2024, Putrajaya pada 16 April 2025 dan Beijing pada 2 September 2025.
Pertemuan itu turut melabuhkan tirai lawatan kerja Anwar di bandar raya hab teknologi China berkenaan.
Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; pegawai kanan Kementerian Luar dan Pejabat Perdana Menteri serta Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.
Sepanjang berada di Shenzhen, Anwar turut menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC, menyertai Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China serta mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin termasuk Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon dan Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee Ka-Chiu.
Malaysia merupakan antara 12 ekonomi pengasas APEC pada 1989.
Blok kerjasama serantau yang dianggotai 21 ekonomi di Lingkaran Pasifik itu mewakili hampir 40 peratus populasi dunia, hampir separuh perdagangan global dan lebih 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.


