
KUANTAN – Kerajaan Pahang menyasarkan kutipan hasil berjumlah RM1.507 bilion tahun depan, manakala perbelanjaan mengurus dianggarkan RM1.502 bilion dengan lebihan RM5 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, RM454.4 juta pula diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan untuk membiayai pelbagai projek dan program yang dirancang.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2027 bertemakan ‘Pahang 1st: Kerajaan Prihatin, Rakyat Diutamakan’ pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
“Dalam menyusun keutamaan belanjawan, agenda kebajikan rakyat akan terus diberi keutamaan,” katanya.
Sejak 2022, kerajaan negeri melaksanakan Bantuan Prihatin Pahang yang diteruskan melalui Inisiatif Makmur Pahang membabitkan peruntukan keseluruhan RM245.61 juta sepanjang lima tahun.
“Bagi 2027, usaha ini akan diperluaskan melalui penjenamaan baharu, iaitu Inisiatif Bantuan Negeri (iBN) Pahang yang menggabungkan seluruh bentuk bantuan termasuk Inisiatif Makmur Pahang dan Apresiasi Pahang 1st,” katanya.
Bagi merealisasikan belanjawan itu, enam teras utama digariskan iaitu memperkasa pendidikan, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional dan modal insan; memacu pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan keusahawanan.
Selain itu, memantapkan tadbir urus, integriti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan; memperkukuh infrastruktur dan kemudahan asas rakyat; memelihara alam sekitar dan mengurus sumber negeri secara lestari; serta memperkukuh kesejahteraan rakyat.
Sejumlah RM260.55 juta diperuntukkan bagi pengurusan, pembangunan dan program syiar Islam, meningkat RM31.84 juta atau 13.5 peratus berbanding tahun ini.
“Selain itu, RM18 juta disediakan melalui Yayasan Pahang bagi memperkasa institusi tahfiz menerusi program pembangunan, bantuan dan geran padanan,” katanya.
Bagi memperkukuh kebajikan institusi agama, RM22.45 juta diperuntukkan antaranya RM10,000 kepada setiap masjid dan RM4,000 kepada setiap surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat dengan peruntukan RM7.95 juta.
“Sejumlah RM2.85 juta diperuntukkan untuk Program Barakah Haji Pahang dengan setiap jemaah haji menerima sumbangan sekali bayar RM900 berupa duit poket – RM800 dan pek makanan retort bernilai RM100,” katanya.
Sumbangan sekali bayar RM150 turut diberikan kepada setiap pelajar tahfiz dan pondok berdaftar, dengan peruntukan meningkat kepada RM1.35 juta berbanding RM800,000 tahun ini, manakala RM2,000 kepada setiap maahad tahfiz dan pondok berdaftar dengan peruntukan RM600,000.
Bagi memperkukuh keupayaan tindakan di lapangan ke arah matlamat mensifarkan pencerobohan tanah, kerajaan negeri memperkasakan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang menerusi penambahan 50 pegawai baharu menjadikan jumlah kekuatan keseluruhan 220 orang.
“Khazanah alam dan biodiversiti negeri ini bukan sekadar warisan untuk kita nikmati hari ini tetapi amanah yang mesti dipelihara demi generasi akan datang,” katanya.



