TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa memadam hantaran berkaitan cadangan penempatan 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia ke Turkiye menerusi program latihan kemahiran selama tiga hingga enam bulan.
Tindakan itu mencetuskan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai tujuan hantaran berkenaan dipadam, selain mempertikaikan kos pelaksanaan dan keberkesanan program tersebut.
Seorang pengguna Threads, iamrofaruque mendakwa Zahid telah memadam hantaran yang memaklumkan Malaysia akan menghantar 10,000 pelarian Rohingya ke Turkiye.
“Malaysian Deputy Prime Minister Zahid Hamidi has deleted his post in which he said that Malaysia will resettle 10,000 Rohingya refugees in Türkiye. What could be the reason behind deleting it?” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, manggopotatoies pula mendakwa sempat membaca hantaran berkenaan sebelum ia dipadamkan, namun mempersoalkan pelaksanaan program serta nasib pelarian selepas tamat latihan.
“Selepas tiga hingga enam bulan, mereka balik Malaysia dan dapat kerja dekat sini. B**** sangat TPM ni,” tulisnya.
Terdahulu, Zahid juga menyatakan Turkiye juga bersetuju menerima pelarian berkenaan bagi mengikuti latihan kemahiran yang disesuaikan dengan keperluan sektor industri negara itu.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada penjelasan rasmi mengenai sebab hantaran berkenaan dipadamkan atau sama ada keputusan kerajaan mengenai program itu turut mengalami perubahan.



