
KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Global Lima Bintang APEX 2027 dan Perkhidmatan Kabin Terbaik Asia Tenggara pada majlis anugerah di Singapura, semalam.
Pengiktirafan itu menyaksikan syarikat penerbangan nasional berkenaan meningkat daripada empat kepada lima bintang, mencerminkan kemajuan berterusan dalam standard perkhidmatan dan pengalaman penumpang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, pencapaian itu hasil usaha berterusan meningkatkan pengalaman penumpang, daripada perkhidmatan di lapangan terbang hingga ke dalam pesawat.
“Perkhidmatan bagi kami bukan sekadar tempoh yang dihabiskan penumpang dalam pesawat, sebaliknya bermula sebelum mereka tiba di lapangan terbang dan berterusan sehingga selepas mendarat,” katanya, lapor Berita Harian.
Penarafan APEX ditentukan berdasarkan maklum balas penumpang yang disahkan secara bebas, membabitkan lebih sejuta penerbangan merentasi ratusan syarikat penerbangan di seluruh dunia.
Seiring pengiktirafan itu, Malaysia Airlines terus memperluas pilihan makanan dalam pesawat dengan mengetengahkan hidangan tempatan dan serantau, termasuk sate cendawan mesra vegan dan cendol aiskrim kelapa.
Syarikat penerbangan itu turut memperkenalkan kemudahan baharu untuk keluarga sejak 1 September lalu, termasuk Kit Aktiviti Safari Malaysia untuk kanak-kanak dan selimut bayi bagi penerbangan jarak jauh.
Selain itu, 49 pesawat kini dilengkapi Wi-Fi dengan kapasiti satelit tambahan bagi meningkatkan jalur lebar.
Dalam perkembangan lain, Malaysia Airlines turut menerima anugerah Pengukuhan Ketersambungan Serumpun Malaysia-Indonesia pada Detikcom Awards 2026 di Jakarta.
Syarikat penerbangan itu kini mengendalikan kira-kira 109 penerbangan seminggu menghubungkan bandar di Indonesia dengan Kuala Lumpur.
Pencapaian berkenaan menyokong Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0) MAG yang menggariskan aspirasi meletakkan Malaysia Airlines dalam kelompok 10 syarikat penerbangan terbaik dunia menjelang 2030.


