SEMPORNA – Seramai 12 individu yang berpakaian menyerupai wanita ditahan di Kampung Hidayat 2, Pulau Bum-Bum selepas dipercayai terlibat dalam penganjuran pertandingan ‘Ratu Pondan’.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Semporna menerusi Facebook rasminya memaklumkan, kesemua mereka ditahan selepas diserbu dalam operasi bersepadu pihaknya bersama pihak polis.
“Turut dirampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pertandingan berkenaan iaitu piala, sijil, hamper dan beberapa barangan lain.
“Operasi bersepadu bersama 11 pegawai polis itu dilaksanakan bagi menjalankan penguatkuasaan undang-undang berkaitan,” menurut JHEAINS Semporna, pada Jumaat.
Bagaimanapun, maklumat lanjut berhubung kesalahan yang disiasat serta tindakan terhadap semua individu terbabit belum diperincikan.



