
TAIPING – “Tiada sebarang perkara luar biasa diceritakan. Rutin harian persekolahan dan kehidupan di asrama juga berjalan seperti biasa, sama seperti pelajar lain.”
Demikian luahan bapa kepada seorang pelajar Tingkatan Tiga yang ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, pada Rabu.
Mohd Idzwan Razali, 48, berkata, anaknya, Muhammad Al Fatih Mohd Idzwan, 15, yang mula bersekolah di institusi berkenaan sejak Tingkatan Satu, tidak pernah berkongsi sebarang masalah berkaitan kehidupan di asrama mahupun persekolahan.
Menurutnya, sepanjang berhubung dengan anak ketiga daripada lima beradik itu, tiada sebarang perubahan atau perkara luar biasa yang diceritakan mengenai rutin hariannya di sekolah.
“Sepanjang perbualan dengan anak, tiada sebarang perkara luar biasa diceritakan, sama ada berkaitan kehidupan persekolahan mahupun di asrama.
“Persekolahan seperti biasa, begitu juga kehidupan di asrama. Sama seperti pelajar lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Idzwan berkata, keluarga dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak polis dan pengetua sekolah antara jam 3 hingga 4 petang, Rabu lalu.
Katanya, kali terakhir keluarga bertemu Allahyarham adalah ketika cuti perayaan Deepavali lalu, manakala komunikasi terakhir mereka berlaku menerusi aplikasi Telegram sehari sebelum kejadian.
“Ketika berhubung, arwah hanya berkongsi aktiviti biasa berkaitan kehidupan di sekolah,” katanya.
Tambahnya, keluarga sememangnya merancang agar Muhammad Al Fatih meneruskan persekolahan di sekolah berkenaan sehingga tamat Tingkatan Lima.
Bagaimanapun, katanya, keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Pihak pengurusan sekolah sudah memberikan penerangan berhubung insiden berkenaan. Namun, kami masih menunggu hasil siasatan polis dan bedah siasat.
“Saya tidak boleh membuat sebarang andaian kerana semuanya masih tertakluk kepada hasil siasatan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga sebuah SBP di Kuala Kangsar ditemukan tidak sedarkan diri di bangunan sekolah berkenaan pada Rabu.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menerusi satu kenyataan memaklumkan pihak sekolah diarahkan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi membantu siasatan berhubung insiden itu.
Jenazah Muhammad Al Fatih dijadualkan dikebumikan di Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan selepas proses bedah siasat selesai.
Foto: Sinar Harian


