
SHENZHEN – Malaysia menyeru sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan diperkukuh termasuklah kerjasama ekonomi serantau walaupun berhadapan ketegangan geopolitik dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keterbukaan dan kerjasama ekonomi perlu terus dipertahankan bagi memastikan kestabilan serta kemakmuran bersama dalam menghadapi cabaran global.
Menurut Anwar, kemakmuran bersama tidak hanya diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya turut merangkumi penciptaan pekerjaan berkualiti, peningkatan taraf hidup serta peluang ekonomi yang lebih luas dan mampan kepada rakyat.
“Malaysia mesti mendukung tatakelola digital dan AI yang berpegang pada etika, memperkukuh keselamatan siber dan memastikan manfaat teknologi turut dinikmati oleh kuasa ekonomi dan gugusan negara di dunia selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC Ke-33 di sini, pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut menghargai prakarsa Presiden China, Xi Jinping dalam merangkul Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin pada Sidang Kemuncak APEC kali ini.
Beliau berkata, usaha berkenaan mampu membuka ruang kepada wacana dan persefahaman bermakna ke arah keamanan serta kerukunan yang berkekalan.
Anwar turut menekankan gagasan Confucius mengenai keharmonian dalam kepelbagaian sebagai prinsip yang wajar dijadikan pedoman dalam menghadapi dunia yang semakin berpecah.
Menurutnya, Asia Pasifik berupaya menunjukkan kepada dunia bahawa persaingan ekonomi boleh berjalan seiring dengan kerjasama, manakala hasil kemajuan dapat dikongsi secara lebih adil dan manusiawi.
“Meski dalam keadaan dunia yang berantakan kini, Asia Pasifik mampu memperlihatkan kepada dunia bahawa persaingan boleh berjalan seiring dengan kerjasama, dan bahawa hasil kemajuan boleh dikongsi dengan lebih adil dan manusiawi,” katanya.

