YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa di Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC Ke-33 di Shenzhen, China. 19 November 2026. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: These handout photographs are provided solely for editorial reporting purposes and may be used only for the contemporaneous illustration of the events, subjects, individuals depicted, or facts referenced in the accompanying caption. Any further reuse may requir
SHENZHEN – Malaysia menggesa sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan diperkukuh bagi memastikan perdagangan antarabangsa terus menjadi pemangkin kepada peluang ekonomi dan bukannya punca perpecahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu perlu disertai integrasi ekonomi serantau yang lebih mendalam serta keterbukaan dalam hubungan perdagangan bagi menjamin kemakmuran bersama.
Beliau berkata, kepentingan dialog dan kerjasama antarabangsa semakin ketara ketika dunia berdepan pelbagai ketegangan geopolitik, termasuk menjelang pertemuan tiga hala bersejarah membabitkan Presiden China, Xi Jinping, Presiden Russia, Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menurutnya, pertemuan yang belum pernah berlangsung sebelum ini itu memperlihatkan kepentingan usaha mencapai keamanan berkekalan menerusi dialog bermakna, selaras dengan aspirasi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) untuk membentuk rantau yang inklusif dan progresif.
“Sebagai sebuah ekonomi perdagangan, Malaysia percaya keterbukaan kekal amat diperlukan.
“Kita perlu memperkukuh sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, memperdalam integrasi ekonomi serantau serta memastikan perdagangan kekal menjadi instrumen peluang dan bukannya perpecahan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan negara pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2026 di sini.
Anwar menegaskan pertumbuhan ekonomi moden tidak seharusnya diukur berdasarkan angka semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada kemakmuran bersama melalui pengagihan manfaat secara adil, khususnya kepada golongan paling memerlukan.
Katanya, prinsip pertumbuhan saksama itu juga perlu diterapkan dalam perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital supaya inovasi memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.
“Inovasi mesti menjadi jambatan kepada kemakmuran bersama dengan mewujudkan pekerjaan lebih baik, meningkatkan taraf kehidupan dan membolehkan penyertaan bermakna dalam kemajuan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, gangguan yang berlaku kebelakangan ini membuktikan ketegangan geopolitik, ketidakjaminan tenaga dan cabaran berkaitan iklim mampu memberi kesan besar terhadap kehidupan masyarakat di rantau Asia-Pasifik.
Sehubungan itu, katanya, kemakmuran kolektif perlu bergerak seiring dengan usaha meningkatkan daya tahan, termasuk melalui komitmen kukuh terhadap keselamatan siber.
Anwar berkata, Malaysia turut menyokong pendekatan bersepadu dan berteraskan etika dalam tadbir urus digital serta AI bagi memastikan kemajuan teknologi tidak disalahgunakan.
Katanya, perkembangan teknologi sebaliknya perlu memperkasa semua ekonomi, khususnya negara sedang pesat membangun di Selatan Global, dan bukannya mendedahkan mereka kepada eksploitasi berniat jahat.
Beliau berkata, komuniti Asia-Pasifik juga perlu terus mengamalkan keterbukaan dan keterangkuman kerana hubungan lebih luas antara wilayah mampu memperkukuh daya tahan ekonomi serta menyumbang kepada pembentukan aturan dunia yang lebih seimbang dan saksama.
“Keputusan yang dibuat di Shenzhen akan menentukan daya tahan dan kemakmuran ekonomi rantau ini untuk generasi akan datang.
“Dalam dunia yang semakin berpecah, Asia-Pasifik mesti membuktikan bahawa kepelbagaian tidak semestinya membawa perpecahan, persaingan tidak semestinya mengorbankan kerjasama dan kemakmuran tidak boleh menjadi hak istimewa segelintir pihak,” katanya.
Info:
Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2026 berlangsung di Shenzhen pada 18 dan 19 November 2026.
Pertemuan Xi, Putin dan Trump pula disifatkan sesetengah media serta pengulas antarabangsa sebagai “Persidangan Yalta Baharu”, merujuk kepada Persidangan Yalta yang berlangsung dari 4 hingga 11 Februari 1945 di Crimea.
Persidangan berkenaan membabitkan pemimpin Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kesatuan Soviet bagi membincangkan perkembangan akhir Perang Dunia Kedua serta pembentukan aturan dunia pascaperang.


