
CYBERJAYA – Orang ramai disaran mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing bagi memastikan peranti mereka dapat menerima amaran kecemasan menerusi Sistem Amaran Awal (EWS) yang dilaksanakan secara berperingkat.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, langkah itu penting bagi memastikan telefon pengguna memenuhi keperluan teknikal untuk menyokong penerimaan amaran berkenaan.
“EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran kecemasan disampaikan secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi tertentu.
“Sistem berkenaan tidak memerlukan pengguna memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan perkhidmatan khusus,” menurut kenyataan MCMC pada Khamis.

MCMC memaklumkan keperluan minimum peranti bagi menyokong EWS ialah iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi terkini, telefon Android 12 dan ke atas serta peranti Huawei dengan EMUI 16 atau versi terkini, tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir.
Sehubungan itu, pengguna disarankan memasang kemas kini perisian terkini yang tersedia, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini serta memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan, sekiranya berkenaan.
MCMC menjelaskan, ujian pada 19 November itu bertujuan menilai dan menambah baik sistem sebagai persediaan ke arah pelaksanaan lebih meluas, manakala ujian berskala besar akan dijalankan secara berperingkat.
Pelaksanaan EWS membabitkan kerjasama MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memperkukuh keupayaan negara menyampaikan amaran kecemasan dengan lebih pantas dan bersasar.
Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa peka terhadap maklumat rasmi serta mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran kecemasan.
EWS melengkapi saluran amaran sedia ada sebagai sebahagian usaha meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi bencana.

