Erling Haaland
SEPAKAN penalti Erling Haaland dalam masa kecederaan melengkapkan kebangkitan dramatik Norway yang bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Denmark 3-2, sekali gus mara ke suku akhir Liga Negara-Negara.
Portugal, yang hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan A4, menewaskan Wales 3-2 dalam perlawanan kedua era pasukan itu tanpa Cristiano Ronaldo untuk mengakhiri saingan dengan 15 mata.
Norway menamatkan saingan di tempat kedua mengatasi Denmark, dengan kedua-dua pasukan mengumpul sembilan mata. Wales pula menghuni tangga keempat dengan tiga mata.
Haaland menjaringkan dua gol buat Norway, termasuk gol kemenangan pada minit ke-96 selepas pertahanan Denmark, Joachim Andersen, dihukum kerana bola terkena tangan.
Jaringan itu melengkapkan kebangkitan luar biasa Norway dan mencetuskan sambutan meriah dalam kalangan penyokong pasukan pelawat.
Denmark menguasai permainan pada awal perlawanan dan Rasmus Hojlund memanfaatkan peluang untuk meledak gol menerusi rembatan kaki kiri dari jarak dekat pada minit ke-11, iaitu gol keenamnya dalam enam perlawanan Liga Negara-Negara.
Denmark menggandakan kelebihan tiga minit kemudian menerusi Pierre-Emile Hojbjerg.
Haaland sebelum itu menyaksikan jaringannya dibatalkan kerana bola terkena tangan, sebelum penyerang Manchester City itu akhirnya meletakkan Norway dalam permainan pada minit ke-37 susulan kesilapan besar Mads Hermansen.
Martin Odegaard merampas bola selepas percubaan Hermansen untuk mengeluarkannya tidak menjadi, sebelum membiarkan bola bergolek kepada Haaland dan disudahkan ke dalam gawang.
Odegaard kemudian menyamakan kedudukan menerusi rembatan dari tengah kotak penalti pada minit ke-83.


