YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino untuk menghadiri semula Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Republik Filipina. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: These handout photographs are provided solely for editorial reporting purposes and may be used only for the contemporaneous illustration of the events, subjects, individuals depicted, or facts referenced in the acc
SHENZEN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2026, hari ini, dengan memberi penekanan kepada kepentingan perdagangan lebih terbuka dan kesalinghubungan serantau dalam menghadapi cabaran ekonomi global.
Ucapan itu dijangka menyentuh cabaran yang berpunca daripada peningkatan tarif perdagangan serta harga minyak mentah yang tinggi, selain keperluan memperkukuh kerjasama ekonomi bagi memastikan kemakmuran bersama di rantau Asia Pasifik.
Anwar yang tiba di Shenzhen tengah malam tadi selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan sidang kemuncak berkaitan di Manila, Filipina, akan memulakan urusan rasmi dengan menghadiri sidang kemuncak berkenaan di Qianhai International Conference Centre (QICC).
Beliau dijadual menyampaikan ucapan bertajuk “Rethinking Openness: Building Shared Prosperity in the Asia Pacific” yang dijangka dihadiri lebih 2,000 peserta.
Selain Anwar, Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Rusia, Vladimir Putin turut dijadual menyampaikan ucapan pada sidang kemuncak itu.
Sebelum itu, Perdana Menteri akan menerima taklimat daripada ahli Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), badan yang memberikan nasihat kepada pemimpin ekonomi APEC mengenai isu berkepentingan kepada sektor perniagaan serta menyampaikan perspektif dunia korporat berhubung bidang kerjasama serantau.
Sidang Kemuncak CEO APEC menjadi platform kepada pemimpin perniagaan dan penggubal dasar untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi serantau, peluang pelaburan serta hala tuju kerjasama ekonomi pada masa depan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut dijadual mengadakan beberapa pertemuan perniagaan dan diplomatik bagi memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia dengan rakan serantau dan antarabangsa.
Antara pengisian ialah tiga pertemuan secara bersemuka dengan wakil syarikat teknologi, termasuk Fastprint, Sion dan China General Nuclear Power Group (CGN).
Beliau juga akan menghadiri Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC).
Terdahulu, Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad berkata, dialog itu penting bagi meneruskan momentum hubungan dua hala Malaysia-China, khususnya dalam memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan serta meneroka bidang baharu yang berpotensi.
Pada sebelah malam, Anwar dijadual menghadiri jamuan keraian dan persembahan kebudayaan sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di Shenzhen International Communication Centre (SICC), yang turut disertai pemimpin serta wakil daripada 21 ekonomi anggota APEC.
Beliau turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.
Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 yang dihoskan China dengan tema “Membina Komuniti Asia-Pasifik untuk Mencapai Kemakmuran Bersama”.

