
RANAU – Usaha menangani gejala buli di sekolah memerlukan kerjasama menyeluruh antara guru, ibu bapa dan komuniti bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid dan tidak boleh diserahkan kepada guru disiplin semata-mata.
Guru Sekolah Menengah Agama Mohamad Ali, Nurul Emmie Ramli berkata, gejala buli kini menjadi cabaran serius dalam persekitaran sekolah apabila perbuatan itu bukan sahaja melibatkan kekerasan fizikal, malah merangkumi ejekan, penghinaan, pemulauan dan buli siber.
Katanya, perbuatan tersebut boleh memberi kesan terhadap emosi serta perkembangan murid.
“Kesannya boleh menyebabkan murid kehilangan keyakinan diri, berasa takut untuk datang ke sekolah dan akhirnya menjejaskan prestasi akademik mereka.
“Cabaran kepada kami sebagai guru ialah bagaimana mahu mengesan kejadian buli yang kadangkala berlaku secara tersembunyi apabila mangsa sendiri tidak mahu melaporkan perkara itu,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press, pada Rabu.

Mengulas lanjut mengenai langkah pencegahan, Emmie berkata, guru perlu sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku murid bagi mengenal pasti tanda awal kemungkinan berlakunya kejadian buli.
Antara petanda yang perlu diberi perhatian termasuk murid yang tiba-tiba menyendiri, takut bergaul dengan rakan sebaya serta kerap tidak hadir ke sekolah dengan memberikan pelbagai alasan.
“Guru juga perlu mewujudkan hubungan yang baik dengan murid dan sentiasa bertanya. Apabila ada aduan daripada murid, kita perlu melayan, menyiasat dan merujuknya kepada pihak bertanggungjawab dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” kongsinya.
Sementara itu, beliau menyifatkan pelaksanaan Akta Antibuli 2026 (Akta 876) sebagai langkah positif kerana menyediakan panduan serta perlindungan yang lebih jelas kepada murid dan pihak sekolah dalam menguruskan aduan.
“Secara tidak langsung, guru juga lebih jelas dengan prosedur yang perlu diikuti apabila berlakunya kes buli, di samping memastikan mangsa dilindungi dan tindakan sewajarnya dapat diambil,” jelasnya.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya mengambil langkah proaktif dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat demi kesejahteraan murid.
“Kita mahu murid datang ke sekolah dengan rasa selamat, gembira dan yakin untuk hadir kerana mengetahui diri mereka dilindungi. Janganlah kita menunggu sehingga berlaku satu kejadian yang serius barulah tindakan diambil,” ujarnya.



