
DATUK Seri Ismail Lasim perlu tampil mendedahkan perkara sebenar di sebalik peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, termasuk pihak yang didakwa memaksanya berbuat demikian.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, beberapa persoalan timbul berhubung pengumuman peletakan jawatan itu, terutama tindakan Barisan Nasional (BN) mengumumkannya terlebih dahulu sebelum pihak istana mengesahkan perkara berkenaan.
Beliau berkata, penjelasan Istana Negeri Sembilan bahawa ketulenan surat peletakan jawatan Ismail masih belum disahkan turut menimbulkan tanda tanya mengenai proses berkenaan.
Menurutnya, Ismail wajar mengambil peluang itu untuk menjelaskan sama ada keputusan berkenaan dibuat atas kehendaknya sendiri atau disebabkan tekanan pihak tertentu.
“Terutama siapa yang memaksa dia. Siapa dalang. Ismail mesti berkorban untuk memastikan UMNO tidak jadi mangsa mainan politik.
“Kebangkitan UMNO tidak boleh terhenti kerana agenda puak tertentu. Ismail tidak rugi apa-apa demi kebangkitan tulen UMNO. Dia mesti ambil peluang ini untuk membetulkan UMNO,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Puad turut merujuk kenyataan anak Ismail yang mempersoalkan tindakan pihak tertentu mengeluarkan kenyataan mengenai peletakan jawatan bapanya.
Anak Ismail sebelum ini mempersoalkan sama ada bapanya sendiri yang membuat keputusan berkenaan atau ia dibuat atas arahan parti.
“Bapanya tidak patut jadi kambing hitam demi kepentingan pihak tertentu. Jangan sampai orang sendiri diperlakukan macam ni,” katanya memetik kenyataan anak Ismail.
Terdahulu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan peletakan jawatan Ismail menerusi Facebook pada 10 malam, 16 November lalu, selepas menerima salinan surat berkenaan daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan pada 17 November memaklumkan pihaknya belum mengesahkan ketulenan surat berkenaan.
Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, surat itu hanya diterima di Istana Hinggap, Seremban pada 12.16 tengah malam, 17 November, melalui seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.
Istana turut menjelaskan bahawa berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, peletakan jawatan Menteri Besar perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda.
Menurut kenyataan itu, perkenan untuk Ismail menghadap Tuanku Muhriz telah disampaikan menerusi WhatsApp pada 8.38 malam, 16 November, manakala sesi menghadap ditetapkan pada 10 pagi, 20 November ini.
Perkenan menghadap itu diberikan 80 minit sebelum Zambry mengumumkan peletakan jawatan berkenaan.



