
PORTUGAL berdepan cabaran besar untuk mengekalkan pengaruh komersial dan tarikan antarabangsa skuad kebangsaan selepas kehilangan Cristiano Ronaldo yang mengakhiri karier antarabangsa selepas 23 tahun menyarung jersi negara itu.
Bukan sekadar kehilangan penjaring prolifik, Portugal turut kehilangan figura global yang menjadi wajah utama pasukan itu selama lebih dua dekad, dengan nilai jenama peribadi Ronaldo dianggarkan mencecah 850 juta euro (RM3.84 bilion).
Pengarah Eksekutif Institut Pentadbiran dan Pemasaran Portugal (IPAM), Daniel Sá berkata, nilai jenama CR7 itu berdasarkan penilaian terkini institusi berkenaan, sekali gus menggambarkan pengaruh besar dimiliki pemain berusia 41 tahun itu.
“Menurut penilaian terkini kami, jenamanya sahaja bernilai 850 juta euro,” katanya seperti dilaporkan The Portugal News.
Dia berkata, Portugal perlu mencari pendekatan baharu untuk mengekalkan penonton antarabangsa yang selama ini mengikuti aksi skuad kebangsaan kerana kehadiran Ronaldo.
Bekas rakan sepasukan Ronaldo, Leonel Pontes yang kini Pengarah Teknikal Shanghai Shenhua berkata, populariti pemain itu masih cukup besar di China sehingga namanya sering dikaitkan dengan Portugal.
“Apabila saya memberitahu orang di sini di China bahawa saya berasal dari Portugal, perkara pertama yang mereka bualkan ialah Cristiano,” katanya kepada The Guardian.
Pontes turut mempersoalkan cara perpisahan Ronaldo dengan skuad kebangsaan dikendalikan, sambil menyifatkan Portugal terlepas peluang untuk mengadakan penghormatan sewajarnya terhadap sumbangan besar pemain itu.
Bekas pemain Portugal, Petit pula percaya tanggungjawab kini perlu dipikul pemain lain dalam skuad, termasuk Vitinha, Bruno Fernandes, João Neves, Nuno Mendes dan Diogo Costa.
Menurut Petit, Ronaldo memiliki keupayaan menyelesaikan perlawanan sukar menerusi jaringan, sepakan percuma dan situasi bola mati, namun Portugal masih mempunyai pemain berkualiti yang beraksi bersama kelab besar Eropah untuk mengambil peranan kepimpinan.
Ronaldo mengakhiri karier antarabangsa dengan rekod 234 penampilan dan 146 gol selepas menjadi sebahagian daripada skuad Portugal yang muncul juara Euro 2016, selain membantu negara itu mara ke final Euro 2004.
Walaupun tidak lagi beraksi bersama skuad kebangsaan, Ronaldo masih meneruskan karier bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr dan memburu sasaran 1,000 gol sepanjang karier profesionalnya.


