default
BANDA HILIR – Pakatan Harapan (PH) akan menilai semula pendekatan gerak kerja dan strategi politik selepas hanya memenangi empat daripada 24 kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, keputusan itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH bagi membolehkan penilaian menyeluruh dibuat, termasuk mengambil kira perkembangan politik di beberapa negeri lain.
Beliau berkata, PH akan meneliti keputusan PRN Melaka bersama keputusan pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan sebelum menentukan langkah seterusnya bagi memperkukuh kedudukan gabungan itu.
“Kita akan bawa keputusan ini ke mesyuarat Majlis Presiden dan saya fikir PH akan menjelaskan banyak perkara daripada hasil keputusan di Melaka pada hari ini.
“Kita tahu ada beberapa keputusan di Johor, Negeri Sembilan dan hari ini di Melaka. Saya fikir secara umum masyarakat boleh melihat keputusan-keputusan itu.
“PH ucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab demokrasi dalam Pilihan Raya Negeri Melaka yang ke-16 pada hari ini, 14 November,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) PH, pada Sabtu.
Tambahnya, PH menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat negeri Melaka, selain sebagai tanggungjawab demokrasi dan asbab untuk memperkukuhkan lagi usaha dan gerak kerja kami di masa hadapan.
“PH sentiasa percaya bahawa keputusan pilihan raya mempunyai dinamika tersendiri, tertentu, dan boleh diperbaiki pada masa hadapan,” katanya.
Mengulas kemungkinan perubahan strategi termasuk kerjasama politik dengan parti pembangkang lain menjelang pilihan raya akan datang, Adly berkata, perkara itu belum diputuskan dan akan dibincangkan pada masa sesuai.
“Untuk hari ini kita belum ada sebarang keputusan dan kita akan bincangkan pada masa akan datang. Ruang untuk kita ada pelbagai, nanti kita akan putuskan,” katanya.


