
PAS digesa menjelaskan secara terbuka perubahan pendiriannya terhadap 47 pertuduhan rasuah yang pernah dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, susulan hasrat parti itu menjalin kerjasama berterusan.
Pengasas parti Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, isu 47 pertuduhan berkenaan sebelum ini menjadi antara alasan utama Pas menggesa pengundi Melayu menolak UMNO ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Beliau merujuk kenyataan Pesuruhjaya Pas Melaka merangkap Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail yang membidas peringatannya bahawa kerjasama Pas dan UMNO sebelum ini tidak pernah bertahan melebihi tiga tahun.
“Memang kerjasama Pas dengan UMNO sebelum ini tidak pernah kekal melebihi tiga tahun, sebelum ia kembali kepada pergaduhan yang memisahkan orang Melayu.
“UMNO menuduh Pas memecah belah perpaduan Melayu, sementara Pas menuduh UMNO tidak mengamalkan Islam,” katanya menerusi satu kenyataan menerusi Facebook malam tadi.

Sehubungan itu, Rafizi meminta Zulkifli menjelaskan pendirian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang pernah dibangkitkan dalam Dewan Rakyat pada 2023.
Beliau memetik kenyataan Hadi pada 13 September 2023 yang menegaskan bahawa dalam Islam tiada konsep pelepasan tanpa pembebasan (DNAA), selain individu yang dituduh perlu dibicarakan sehingga selesai.
Rafizi turut memetik kenyataan Hadi pada 24 Oktober tahun sama yang membangkitkan persoalan mengenai DNAA, termasuk perbandingan antara individu yang dilepaskan tanpa dibebaskan dengan mereka yang sudah dijatuhi hukuman tetapi mendapat pengampunan..
“Menjelang hari mengundi di Melaka, adalah wajar Pas menyatakan secara terbuka sebab musabab yang mendorong mereka mengubah pendirian mengenai pertuduhan 47 kes itu,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sejarah hubungan Pas dan UMNO memperlihatkan kerjasama kedua-dua parti itu sering berakhir dengan pertelingkahan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan pakatan terbaharu mereka untuk bertahan lama.


