
TANGGA BATU – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa melepaskan jawatan Timbalan Perdana Menteri, sekiranya tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tindakan itu sewajarnya diambil Zahid sekiranya beliau mempunyai maruah susulan pendirian yang ditunjukkan ketika ini.
“Kalau dia ada maruah, dia harus berundur sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana dia jelas menunjukkan satu sikap yang tidak sehaluan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ada ramai lagi pimpinan lain seperti Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan), Datuk Seri Johari Abdul Ghani ataupun Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang boleh menggantikan tempat beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program makan malam di Bukit Rambai, di sini pada Khamis malam.

Mengulas gesaan supaya Perdana Menteri mengambil tindakan memecat Zahid daripada jawatan berkenaan, Kamil berkata, perkara itu terpulang kepada pertimbangan Anwar selaku ketua kerajaan.
“Itu kena tanya Perdana Menteri, boleh ganti dengan yang lain, tidak ada masalah kerana itu kuasa prerogatif Perdana Menteri.
“Tapi kalau tanya saya, tidak perlu pecat. Kalau ada maruah, undur sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo turut mencabar Zahid supaya melepaskan jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan, berbanding mendesak supaya Parlimen dibubarkan lebih awal.
Gobind menyifatkan kenyataan Pengerusi BN itu sebagai tidak wajar memandangkan beliau sendiri memegang jawatan kedua tertinggi dalam pentadbiran negara.
Bagaimanapun, Zahid menegaskan tidak timbul isu menteri BN tidak menyokong kepimpinan Anwar di peringkat Persekutuan.
Beliau menjelaskan, sepanjang mesyuarat Jemaah Menteri, tidak pernah berlaku keadaan menteri BN menolak dasar Kerajaan Perpaduan atau mempunyai perbezaan pendapat dengan Perdana Menteri.
Menurutnya, perbezaan pendirian parti politik di peringkat negeri, khususnya ketika menghadapi pilihan raya, merupakan hak masing-masing dan tidak seharusnya dikaitkan dengan sokongan terhadap kepimpinan Anwar.


