Gambar hiasan
MERLIMAU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan kira-kira 70 peratus pengundi akan keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, sasaran itu dianggap baik memandangkan ia adalah pilihan raya peringkat negeri dan bukannya pilihan raya kecil.
“Kita harap 70 peratus. Selalunya jadi macam itulah. Harap-harap seramai mungkin,” katanya selepas meninjau persiapan logistik di Dewan Politeknik Merlimau, hari ini.
Beliau turut menasihatkan pengundi hadir awal susulan ramalan hujan dan membawa payung sebagai persediaan.
“Kalau boleh datang awal, tetapi kalau hujan, bawa payung. Apa pun berlaku, datang mengundi,” katanya.
Azmi turut mengingatkan semua calon, penyokong dan jentera parti supaya menghentikan semua aktiviti kempen tepat jam 11.59 malam ini, termasuk di media sosial.
Sebanyak 240 pusat mengundi melibatkan 1,213 saluran akan dibuka pada 14 November ini, dengan 79 calon bertanding bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri.



