
KUALA LUMPUR – Kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini secara rasmi diisytiharkan sebagai penjara bagi tujuan pemenjaraan atau penahanan individu dalam jagaan sah.
Perisytiharan itu dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengikut kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 [Akta 537].
Ia dimaktubkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan dan disiarkan menerusi portal rasmi Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurut warta berkenaan, perisytiharan itu meliputi keseluruhan bangunan serta kawasan tanah seluas 4,558.975 meter persegi di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur.
Kawasan berkenaan terletak di atas Lot 5746, Mukim Kuala Lumpur, Daerah Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 3 Akta Penjara 1995 [Akta 537], Menteri mengisytiharkan semua bangunan dan kawasan dengan keluasan 4,558.975 meter persegi di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, 50480 Kuala Lumpur yang terletak di atas Lot 5746, Mukim Kuala Lumpur, Daerah Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai suatu penjara bagi maksud Akta bagi pemenjaraan atau penahanan orang dalam jagaan sah,” menurut warta itu, semalam.
Perisytiharan berkenaan berkuat kuasa mulai tarikh ia dimeterai, iaitu pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib dilaporkan selesai membayar denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.
Pembayaran itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu.
Ia membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.


