
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan siber negara dengan memberi tumpuan kepada keupayaan menjangka dan mencegah serangan, susulan ancaman yang semakin kompleks serta canggih.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan proaktif perlu diberikan keutamaan berbanding tindakan reaktif bagi memastikan negara bersedia menghadapi sebarang ancaman yang boleh menyasarkan pelbagai sektor, termasuk perbankan dan institusi penting.
“Kita mesti bina kekuatan untuk menjangka serangan. Jangan tunggu reaktif. Kita perlu bersedia untuk menjangkakannya terlebih dahulu,” katanya ketika menjadi moderator Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 14 di sini, malam tadi.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Presiden Kumpulan SD Guthrie Berhad, Mohd Haris Mohd Arshad serta Ketua Pegawai Eksekutif PNB Research Institute, Dr Sarena Che Omar.

Anwar berkata, ancaman siber kini bukan hanya dihadapi negara membangun, malah turut membabitkan negara maju di Eropah yang mempunyai infrastruktur keselamatan dan ekonomi canggih.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan telah mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meneliti kepakaran serta keupayaan sedia ada dalam menghadapi ancaman keselamatan siber.
Selain itu, taklimat terperinci turut diberikan kepada Ahli Parlimen, manakala Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengadakan pertemuan dengan ketua setiausaha kementerian, ketua pengarah dan pegawai kanan bagi menyelaras persediaan menyeluruh menghadapi kemungkinan pencerobohan siber.
Menurut Perdana Menteri, persediaan rapi amat penting kerana serangan siber boleh berlaku menerusi pelbagai kaedah dan tidak semuanya dapat dikesan pada peringkat awal.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Forum Ilmuwan Malaysia MADANI menjadi platform penting untuk menghimpunkan pandangan, kritikan dan cadangan pelbagai pihak bagi membantu kerajaan menilai serta menambah baik dasar dan pelaksanaan program negara.
Katanya, forum bulanan itu membuka ruang kepada golongan akademik, penyelidik, pemain industri swasta dan jentera pentadbiran berkongsi pandangan secara telus, termasuk mengemukakan pendapat berbeza daripada pendirian kerajaan.
“Forum ini kita adakan secara santai, tidak formal. Saya mendengar pandangan daripada rakan-rakan, kemudian kita rumuskan dan bawa perkara yang perlu ke Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan kerajaan mendapatkan perspektif berbeza daripada pakar dan pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan, sekali gus memastikan dasar yang dirangka mengambil kira realiti serta cabaran sebenar di lapangan.
Anwar turut menegaskan bahawa pandangan yang dikemukakan dalam forum berkenaan tidak seharusnya terhenti pada perbincangan akademik, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan dan penambahbaikan dalam pentadbiran negara.
Katanya, perbincangan terbuka juga penting bagi mengenal pasti kelemahan dasar sedia ada serta mencari penyelesaian lebih berkesan demi kepentingan rakyat.
Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 14 kali ini membincangkan isu daya tahan sektor pertanian dan keterjaminan makanan yang turut menjadi elemen penting dalam menjamin keselamatan serta ketahanan ekonomi negara.



