TIMBALAN Presiden Amanah , Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mencabar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya mengemukakan bukti serta menunjukkan klausa khusus dalam Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang didakwa mempunyai unsur penipuan, paksaan atau pengkhianatan amanah sehingga disamakan dengan pendekatan “Dajjal pada akhir zaman”.
Katanya, dakwaan sedemikian perlu disokong fakta dan bukti, bukannya sekadar menggunakan istilah agama yang boleh mencetuskan kebencian serta ketegangan politik.
Menurutnya, selagi tiada bukti dikemukakan, beliau melihat pelabelan berkenaan sebagai tuduhan berniat jahat yang berpotensi mengapi-apikan sentimen politik.
Malah, Mujahid turut mempersoalkan konsistensi pendirian Hadi dengan mengimbas kembali pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 September 2021.
Katanya, ketika itu Pas dan Bersatu turut berada dalam kerajaan, manakala Hadi sendiri berkhidmat sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.
“Walaupun MoU 2021 dan CSA sekarang berbeza kandungannya, kedua-duanya melibatkan persefahaman kerajaan dengan pembangkang demi kestabilan.
“Apakah ukuran prinsip Hadi sehingga kerjasama ketika Pas berada dalam kerajaan boleh diterima, tetapi kini dilabel dengan istilah Dajjal?” soalnya dalam satu kenyataan.
Mujahid menegaskan kestabilan politik perlu bergerak seiring dengan agenda reformasi, manakala pemberian peruntukan kepada rakyat hendaklah dilaksanakan secara adil dan telus.
Beliau turut mengingatkan bahawa prinsip semak dan imbang perlu terus dipertahankan bagi memastikan sebarang persefahaman politik tidak menjejaskan kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya CSA dinilai berdasarkan kandungan sebenar serta pelaksanaannya, bukannya melalui penggunaan istilah agama bagi menggantikan keperluan mengemukakan bukti.
Katanya, sebarang kritikan terhadap perjanjian berkenaan wajar dibuat secara berfakta dengan menunjukkan klausa yang dipertikaikan supaya rakyat dapat menilai isu itu secara objektif.

