
KANGAR – Dua pemuda warga Thailand yang dipercayai terbabit dalam insiden kejar-mengejar bot sehingga mengorbankan seorang anggota risikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Sungai Padang, minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh.
Kedua-dua tertuduh, Pradit Rimat, 22, dan Rotchahan Tehpuyu, 21, yang berasal dari wilayah Satun, Thailand, berdepan pertuduhan itu selepas seorang anggota Maritim Malaysia meninggal dunia ketika menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan berkenaan pada 27 Oktober lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thailand oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa secara bersama membunuh Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Padang antara pukul 11 malam, 26 Oktober hingga 1.30 pagi, 27 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati, sekiranya sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 Januari 2027 bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat serta laporan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maritim Malaysia, Wirna Arifin dan Kamaliza Md Zain, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, kedua-dua lelaki berkenaan turut berdepan pertuduhan menyeludup sembilan migran warga Myanmar menggunakan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran di perairan hadapan muara Sungai Padang antara pukul 11 malam, 26 Oktober hingga 12.30 tengah malam, 27 Oktober lalu.
Tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan memasuki Malaysia melalui laluan tidak diwartakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid menetapkan 15 Disember depan bagi sebutan semula kes ATIPSOM dan imigresen susulan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Afiqah Zakaria yang memaklumkan pihak pendakwaan masih menunggu dokumen berkaitan daripada Jabatan Imigresen Malaysia.
Mahkamah turut menetapkan tarikh sama bagi urusan pelantikan jurubahasa Myanmar melibatkan tujuh warga negara itu, termasuk seorang wanita berusia antara 22 hingga 43 tahun, yang turut didakwa memasuki Malaysia secara tidak sah, selain tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin.
Dalam kejadian pada 27 Oktober lalu, Mohd Roshaimi yang bertugas di Unit Perisikan Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis meninggal dunia ketika operasi mengejar sebuah bot disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Kuala Sungai Padang.
Insiden itu berlaku selepas bot Maritim Malaysia yang membawa lima anggota terlibat dalam operasi mengejar bot berkenaan sebelum mengalami kemalangan berhampiran struktur konkrit tinggalan jeti lama di kawasan tersebut.


