
KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mematahkan cubaan menyeludup serbuk putih dipercayai etomidate seberat 5.13 kilogram, hasil serbuan di sebuah pusat kurier di Shah Alam, Selangor awal September lalu.
Bungkusan yang diikrar sebagai asid itu dipercayai dihantar dari India, transit di China sebelum tiba di negara ini.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuantan pada jam 12.05 pagi hasil intipan dan maklumat awam.
“Kita buat pemeriksaan hasil intipan dan maklumat awam. Dalam pemeriksaan itu, kita menemukan satu bungkusan lutsinar mengandungi serbuk putih dipercayai etomidate.
“Berat bahan rampasan 5.13 kilogram dan dianggarkan bernilai RM769,500,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam, di sini hari ini.
Bungkusan itu disita kerana melanggar Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Pengimportan serbuk etomidate tertakluk kepada pemeriksaan dan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta memerlukan lesen mengikut Akta Racun 1952.
JKDM kini menunggu hasil analisis kimia bagi mengesahkan kandungan serbuk tersebut. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Mengulas kegunaan serbuk itu, Mohd Asri berkata ia kebiasaannya diproses menjadi cecair dalam vape dan digunakan sebagai ubat bius.
“Sebab itu sebarang pengimportan serbuk etomidate memerlukan kebenaran daripada KKM,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan serbuk itu antara elemen digunakan dalam penghasilan cecair ‘mushroom’ atau lebih dikenali sebagai ‘piu-piu’ yang sering digunakan remaja dalam vape, namun ia masih belum terbukti sehingga keputusan analisis kimia diperoleh.
Dalam perkembangan lain, JKDM Pahang turut merampas rokok seludup dan minuman keras dalam serbuan di Sungai Jawi, Pulau Pinang pada jam 3 pagi.
Pasukan itu menemui 400,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai RM32,000, dengan nilai duti dan cukai sekitar RM276,000. Rokok itu dipercayai diseludup dari Vietnam.
Dalam serbuan sama, pihaknya turut menemui 6,504 tin minuman keras pelbagai jenama bernilai RM22,342.32 dengan nilai cukai dan duti melebihi RM95,000. Minuman keras itu dipercayai dari Indonesia.
Kes itu turut disiasat mengikut Akta Kastam 1967.



