
PULAU GADONG – Jangan biarkan kira-kira 200 pengusaha ladang kelapa sawit di Hutan Simpan Kemasul Tambahan Dua, berhampiran FELDA Chemomoi, terus terkapai-kapai tanpa penyelesaian kerana kemelut tanah yang membabitkan mereka perlu diputuskan kerajaan negeri.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, pertemuan serampang mata perlu dilakukan dalam mencapai persetujuan bersama susulan Kerajaan Negeri Pahang memiliki kuasa dalam menentukan penyelesaian holisitik.
Beliau berkata, peranannya ketika ini adalah sebagai orang tengah untuk membawa tuntutan dan suara pengusaha kepada kerajaan negeri, selain memastikan masalah sama tidak berulang di kawasan terbabit.
“Chemomoi ini adalah isu mengenai kerajaan negeri. Jadi semestinya adalah keputusan kepada pihak kerajaan negeri untuk menyelesaikannya. Saya sebagai wakil rakyat, Ahli Parlimen, memainkan peranan sebagai orang tengah untuk menyampaikan dan juga untuk bersama-sama.
“Ini untuk memastikan bahawa isu yang ini tidak berulang di tempat lain. Jadi kita perlu mencapai konsisten dan capai kata sepakat bersama di antara pengusaha yang telah mengusahakan tanah itu berpuluh-puluh tahun,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Mengulas lanjut, Young Syefura memaklimkan, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan kira-kira 200 pengusaha terbabit bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai permasalahan yang dihadapi.

Katanya, beliau sudah menyampaikan hasrat pengusaha itu kepada Menteri Besar Pahang dan kini menunggu maklum balas bagi membolehkan satu pertemuan diadakan dalam mencari penyelesaian holistik.
“Saya sendiri dah berjumpa dengan kesemua mereka di Felda Chemomoi. Kalau kita lihat isu ini memang agak tidak mudah untuk diselesaikan kerana ia juga melibatkan pengambilan isu tanah dan sebagainya.
“Kesemua mereka ini mahu berjumpa dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Jadi saya telah sampaikan dan Menteri Besar juga sudah sedia maklum,” katanya.
Mengulas lanjut, Young Syefura mengharapkan pertemuan itu nanti dapat membuka ruang perbincangan lebih menyeluruh bagi membolehkan penyelesaian yang mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak.
“Kita sekarang menunggu kepada Menteri Besar supaya dapat diadakan satu pertemuan yang dapat berbincang dengan lebih baik dan menyelesaikan masalah ini dengan orang kata win-win situation kepada kedua-dua belah pihak,” katanya.
Terdahulu, himpunan selama kira-kira dua jam di padang awam FELDA Chemomoi, pada Isnin itu bertujuan mendesak kerajaan negeri mencari penyelesaian terhadap kemelut tanah berkenaan yang didakwa bakal diserahkan kepada sebuah syarikat swasta.
Wakil pengusaha, M Tamilchelvan, 65, berkata mereka tidak berniat mempertikaikan kuasa kerajaan negeri dalam menentukan status atau pengurusan tanah berkenaan, apatah lagi menuntut hak milik ke atas kawasan tersebut.
Sebaliknya, katanya, kira-kira 300 pengusaha yang terbabit berharap kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan mereka untuk terus mengusahakan ladang berkenaan menerusi kaedah tapping right.


