

KANGAR – Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memberi perhatian terhadap pembangunan Perlis meskipun negeri itu berada di bawah pentadbiran pembangkang.
Komitmen pembangunan itu dapat dilihat menerusi pelaksanaan projek strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dengan kerjasama kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang merekodkan realisasi pelaburan berjumlah RM116.4 juta setakat 30 September lalu.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Perlis yang semakin berkembang.
“Realisasi pelaburan yang dicatatkan pada tahun ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Perlis.
“Dengan ketersediaan projek strategik seperti Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Pelabuhan Darat Perlis (PIP), NCER kini sedang memudah cara beberapa pelaburan berpotensi dalam sektor logistik, pembuatan bernilai tinggi, agromakanan dan teknologi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Negeri (JPN) Perlis yang dipengerusikan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah di sini, hari ini.
Pelaksanaan projek berkenaan selaras dengan agenda Ekonomi MADANI, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026–2030 yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi serta pembangunan wilayah secara inklusif.
Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menerusi NCER itu turut memperlihatkan kesinambungan agenda pembangunan ekonomi Perlis walaupun kedua-duanya diterajui gabungan politik berbeza.
Antara projek utama yang menjadi pemangkin pertumbuhan negeri ialah CVIA dan PIP yang berperanan memperkukuh sektor perindustrian, logistik serta jaringan perdagangan rentas sempadan.
Selain itu, pembangunan NCER Agribio Economic Zone (NAEZ) dijangka membuka potensi baharu sektor agromakanan menerusi penggunaan teknologi moden, manakala pembangunan ekosistem aeroangkasa dan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) mampu menarik aktiviti penyelidikan serta pelaburan teknologi tinggi.
Mohamad Haris berkata, NCER turut memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan, inovasi dan keusahawanan bagi memastikan rakyat Perlis memperoleh manfaat daripada pertumbuhan industri serta peluang pekerjaan baharu.
Katanya, NCER akan terus mempercepatkan pelaksanaan projek pemangkin dan memudah cara pelaburan berpotensi bagi menjadikan Perlis hab logistik, agromakanan dan industri masa hadapan yang berdaya saing di peringkat serantau.



