
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek meluahkan rasa sedih atas pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad yang disifatkannya sebagai seorang sahabat baik sejak zaman pengajian di universiti.
Fadhlina berkata, beliau dan Allahyarham sudah menjalin persahabatan sejak menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan banyak kenangan bersama yang sukar dilupakan.
“Berat sungguh hati saya menerima perkhabaran pemergian sahabat baik saya, Wan Badariah Wan Saad, ADUN Mata Ayer, Perlis.
“Kami bersahabat sejak zaman pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Banyak kenangan yang kami kongsi bersama dan pastinya akan terus terpahat dalam ingatan.
“Hari ini saya kehilangan seorang sahabat yang amat saya kasihi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham selain mendoakan agar segala amal kebaikannya diterima Allah.
“Salam takziah buat seluruh keluarga arwah. Semoga Allah mengampunkan segala dosanya, menerima segala amal kebaikannya dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

Wan Badariah, 50, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, pada pukul 4.26 petang tadi.
Allahyarhamah yang juga seorang peguam merupakan wakil rakyat Pas yang memenangi kerusi DUN Mata Ayer atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan majoriti 2,021 undi.
Beliau turut mencipta sejarah sebagai calon wanita pertama diketengahkan Pas Perlis dalam pilihan raya umum sebelum dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis pada November 2022.
Bagaimanapun, Allahyarham tidak lagi menganggotai barisan Exco selepas perubahan kepimpinan kerajaan negeri pada penghujung Disember tahun lalu, namun kekal berkhidmat sebagai ADUN Mata Ayer sehingga akhir hayatnya.



