BUKAN mudah membawa perubahan di kawasan yang masih ketinggalan, namun Amanah yakin calon mudanya, Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah, mampu menyahut cabaran itu di Kuala Linggi.
Keyakinan itu disuarakan Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil yang melihat latar belakang pendidikan undang-undang serta pengalaman Mukhlis mendekati masyarakat setempat sebagai antara kelebihan calon berusia 24 tahun itu.
Menurutnya, Mukhlis yang juga anak jati Kuala Linggi mempunyai pendedahan terhadap isu penduduk, termasuk golongan nelayan, sekali gus menjadi antara kelebihan yang boleh dimanfaatkan sekiranya diberi mandat oleh pengundi.
“Yang menarik mengenai Kuala Linggi ini adalah calon anak muda daripada Amanah. Kita bukan baharu dalam meletakkan calon-calon muda dalam pilihan raya, tetapi kali ini lebih hebat kerana beliau merupakan calon paling muda,” katanya.
Faiz berkata, penglibatan Mukhlis dalam aktiviti bersama masyarakat setempat membolehkannya memahami permasalahan penduduk, termasuk cabaran yang dihadapi golongan nelayan.
Katanya, Kuala Linggi memerlukan idea dan pendekatan baharu untuk merangsang pembangunannya agar tidak terus ketinggalan berbanding kawasan lain di negeri itu.
“Saya pasti dengan kekuatan yang ada pada generasi Z ini, kebijaksanaan dan juga pencetusan idea beliau untuk mengusahakan bagaimana nak membangunkan lagi Kuala Linggi ini, Kuala Linggi memerlukan perubahan.
“Kita tengok Kuala Linggi ini jauh ketinggalan berbanding kawasan lain di Melaka,” katanya.
Dalam pada itu, Faiz yakin usia Mukhlis bukan penghalang untuk beliau memikul tanggungjawab sebagai calon pilihan raya, malah pendedahan terhadap politik sejak kecil membentuk kematangannya.
Menurutnya, pengalaman Mukhlis dalam pertandingan pidato, termasuk pernah mewakili negara di peringkat antarabangsa, turut menjadi antara faktor yang meningkatkan keyakinannya terhadap keupayaan calon berkenaan.
“Walaupun beliau muda, saya percaya beliau sangat matang dalam politik kerana telah didedahkan dan dididik dengan politik sejak kecil.
“Apatah lagi, beliau pernah menjadi juara pidato dan mewakili negara di peringkat antarabangsa. Ini memberikan indikasi kepada kita bahawa calon yang kita tampilkan ini bukan calang-calang,” katanya.
Mengulas peluang PH pada PRN Melaka, Faiz berkata, rekod pentadbiran gabungan itu sebelum ini merupakan antara perkara yang boleh diketengahkan kepada pengundi.
Katanya, PH yakin mempunyai keupayaan dalam aspek kestabilan politik, pengurusan ekonomi dan tadbir urus yang baik.
“Kita yakin kepimpinan dan juga calon-calon yang ditampilkan oleh Pakatan Harapan dan Amanah ini adalah mereka yang berkemampuan untuk mentadbir dari sudut tadbir urus yang bersih, terurus dan juga bijak,” katanya.


