Wan Rosdy Wan Ismail
KUANTAN – Kerajaan Pahang menegaskan pembukaan peluang ekonomi di negeri ini mesti disertai kemudahan yang boleh dimanfaatkan semua lapisan masyarakat, termasuk golongan B40, warga emas, OKU, Orang Asli dan penduduk luar bandar.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, faktor tempat tinggal, pengangkutan dan kemampuan kewangan golongan itu perlu diambil kira, selain bantuan bersemuka masih penting meskipun urusan kini banyak dilakukan secara digital.
“Kita mahu rakyat tahu ke mana mereka boleh pergi, siapa yang boleh dihubungi dan bagaimana permohonan boleh dibuat,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim pada Program SDG Bersasar Wilayah Timur 2026 di Paya Besar, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.
Wan Rosdy berkata, Laporan Indikator SDG 2024 merekodkan akses elektrik Pahang mencapai 100 peratus, penggunaan internet 97.3 peratus dan air minuman terurus 98 peratus, selain ekonomi negeri berkembang 3.2 peratus kepada RM71 bilion pada 2025.
Bagaimanapun, katanya, angka itu perlu diterjemahkan kepada pekerjaan, peningkatan pendapatan dan perniagaan untuk rakyat.
Dalam konteks Paya Besar, beliau melihat potensi besar melalui Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, sektor industri dan bidang halal yang perlu dihubungkan dengan pelancongan dan keusahawanan komuniti.
Daerah Lipis turut dikenal pasti sebagai lokasi seterusnya bagi pelaksanaan program berkenaan bagi manfaat masyarakat luar bandar dan Orang Asli.



