
SANDAKAN – Jabatan Imigresen Malaysia Sabah (Imigresen) merancang melaksanakan enam lagi siri penghantaran pulang tahanan warga Filipina secara berskala besar dengan sasaran 800 orang bagi setiap siri, bermula minggu ini.
Pengarahnya, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, langkah itu diharap dapat mengelakkan kesesakan di depot imigresen di negeri ini.
Beliau berkata, pada Khamis, 800 PATI terdiri daripada 590 lelaki dewasa, 88 perempuan dewasa, 64 kanak-kanak lelaki dan 58 kanak-kanak perempuan berumur antara 16 hari hingga 83 tahun dihantar pulang ke negara asal.
“Penghantaran pulang itu melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Tawau, Sandakan dan Papar dengan menggunakan kapal MV Antonia 1 dari Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
“Kanak-kanak yang terlibat dalam program itu turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing,” katanya ketika ditemui media semasa Program Penghantaran Pulang Tahanan PATI ke Negara Asal, di Pelabuhan Sandakan di sini, pada Khamis.
Sitti Saleha berkata, Depot Imigresen Sandakan turut melaksanakan pemindahan empat tahanan lelaki dewasa, masing-masing seorang warga Nepal dan India serta dua warga Pakistan, melalui Lapangan Terbang Sandakan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) Terminal 2 sebelum dihantar ke negara asal.
“Pada Selasa lepas, seramai 269 tahanan warga Filipina turut dihantar pulang menerusi Pelabuhan Pusat Pemeriksaan dan Keselamatan (iCQS) Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina menggunakan feri komersial.
“Ini menjadikan jumlah tahanan warga Filipina yang dihantar pulang sepanjang minggu ini seramai 1,069 orang.
“Sehingga hari ini, seramai 7,490 PATI daripada pelbagai warganegara telah dihantar pulang ke negara masing-masing sejak Januari lepas.
“Daripada jumlah itu, warga Filipina mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 5,357 orang, diikuti Indonesia (1,789), China (141), Pakistan (139), Vietnam (29) dan lain-lain negara (35),” jelasnya.
Beliau turut berharap pihak kedutaan negara berkaitan dapat mempercepatkan pengeluaran dokumen perjalanan bagi membolehkan proses penghantaran pulang tahanan dilaksanakan secepat mungkin selepas mereka selesai menjalani hukuman atau diserahkan kepada pihak imigresen.
“Kita menyasarkan supaya tahanan dapat dihantar pulang ke negara asal secepat mungkin. Kalau boleh, bagi warga Filipina, dalam tempoh sebulan mereka sudah dihantar pulang.
“Bagi negara lain, prosesnya lebih mudah dan dalam tempoh seminggu mereka boleh dihantar pulang dengan bantuan pihak kedutaan masing-masing,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerja-kerja menaik taraf empat depot imigresen di Sabah sedang dilaksanakan bagi menambah baik kemudahan dan keadaan penempatan tahanan.
Bagaimanapun, Depot Imigresen Tawau masih belum diserahkan kepada Imigresen berikutan kelewatan kontraktor menyiapkan kerja naik taraf.
Beliau berharap kontraktor berkenaan dapat menyegerakan kerja terbabit dan memaklumkan bahawa depot yang beroperasi ketika ini telah memenuhi spesifikasi ditetapkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
“Pengurangan jumlah tahanan di depot turut memberi ruang kepada agensi penguat kuasa untuk meningkatkan operasi membanteras PATI, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Imigresen,” tambahnya.



