
KANGAR – Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad, 50, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, pada pukul 4.26 petang hari ini.
Kematian pemimpin wanita Pas itu disahkan Ketua Penerangan Pas Perlis, Mohamad Zahid Ibrahim menerusi satu makluman yang dikeluarkan petang ini.
“Marilah kita sama-sama mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarhamah,” katanya.
Allahyarhamah merupakan antara pemimpin wanita yang mencatat sejarah dalam politik Pas Perlis apabila menjadi calon wanita pertama diketengahkan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November 2022.
Anak kelahiran Padang Siding, Arau yang berkelulusan dalam bidang undang-undang itu berjaya merampas kerusi DUN Mata Ayer daripada Barisan Nasional (BN) selepas memperoleh kemenangan dengan majoriti 2,021 undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Kemenangan atas tiket Perikatan Nasional (PN) itu turut membuka laluan kepada Allahyarhamah untuk menganggotai pentadbiran kerajaan negeri apabila dilantik sebagai Exco pada November 2022.
Di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli, beliau diberikan tanggungjawab menguruskan beberapa portfolio penting termasuk pelancongan, kebudayaan, kesenian dan warisan.
Allahyarhamah turut pernah memegang portfolio pembangunan wanita, keluarga, masyarakat, perpaduan dan alam sekitar sepanjang berada dalam barisan pentadbiran negeri.
Bagaimanapun, perubahan kepimpinan kerajaan Perlis pada penghujung Disember 2025 menyaksikan beliau tidak disenaraikan semula sebagai Exco dalam pentadbiran baharu yang diterajui Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.
Beliau bagaimanapun kekal sebagai wakil rakyat Mata Ayer sehingga menghembuskan nafas terakhir petang ini.
Punca kematian serta maklumat berkaitan urusan pengebumian Allahyarhamah masih belum diumumkan secara rasmi.
