
KUCHING – Usaha memperkukuh penyelidikan dan inovasi pendidikan terus menjadi antara fokus pembangunan bakat di Sarawak apabila Persidangan Antarabangsa Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Kali Ke-4 2026 (iCERI2026) menghimpunkan pakar akademik, penyelidik dan penggiat pendidikan bagi meneroka potensi pendigitalan serta kecerdasan buatan (AI) dalam mentransformasikan landskap pendidikan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, penyelidikan dan inovasi pendidikan memainkan peranan penting dalam meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, selain menyokong proses membuat keputusan berasaskan bukti.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan iCERI2026 yang bertemakan Transforming Learning Through Digitalisation and Artificial Intelligence di Raia Hotel & Convention Centre, semalam.
Persidangan itu dianjurkan menerusi kerjasama strategik antara Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), sekali gus menyediakan platform untuk memperluas jaringan kerjasama serta menggalakkan kolaborasi penyelidikan dalam bidang pendidikan.
Antara objektif utama penganjuran persidangan itu adalah untuk membina jaringan strategik yang lebih kukuh dan menggalakkan kerjasama penyelidikan bagi menyokong pembangunan serta transformasi pendidikan, khususnya dalam mendepani perkembangan teknologi digital dan AI.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap MEITD, Caroline Cleophas Joseph; Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, Yahya Sedik; dan Timbalan Pengarah Kanan Institut Aminuddin Baki, Dr Abang Ismail Abang Julhi.
Hadir sama Timbalan Ketua (Penyelidikan), Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan, Profesor Madya Victor Lim Fei; Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Perundingan University College London, Dr Mohamad Ali Chaudhry; serta wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Natrah Ahim.
Persidangan itu turut menghimpunkan pegawai pendidikan daerah, penyelidik, ahli akademik, pendidik dan wakil industri untuk bertukar-tukar pandangan serta meneroka peluang kerjasama dalam memperkukuh inovasi pendidikan demi menyokong pembangunan sektor pendidikan yang seiring dengan kemajuan teknologi.


