
PUSA – Seni tenunan songket bukan sahaja warisan budaya yang perlu dipelihara, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan kepada masyarakat tempatan menerusi pembangunan industri kraftangan dan keusahawanan berasaskan warisan.
Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Beting Maro, Datuk Razaili Gapor berkata, usaha memperkukuh industri tenunan songket perlu diteruskan melalui latihan kemahiran, pengembangan produk serta penyediaan kemudahan sokongan kepada pengusaha tempatan.
“Seni tenunan songket mempunyai nilai seni, budaya dan ekonomi yang tinggi.
“Potensi ini perlu dikembangkan supaya hasil kraftangan tempatan bukan sahaja dapat mengekalkan warisan tradisi, malah mampu menjana pendapatan kepada masyarakat.”
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Kursus Asas Tenunan Songket di Dewan Masjid Kampung Beladin, di sini, pada Selasa.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyertaan seramai 50 peserta yang mengikuti inisiatif pemerkasaan kemahiran kraftangan bagi memastikan seni warisan tradisional Sarawak terus dipelihara dan berpotensi dikembangkan sebagai sumber ekonomi komuniti.
Razaili turut menekankan kepentingan memperluas pembangunan industri berkenaan, termasuk meneroka aspek pemprosesan benang serta menyediakan kemudahan yang dapat membantu masyarakat mengembangkan kemahiran dan pengeluaran produk tenunan.
Menurutnya, usaha memperkenalkan busana Melayu Saribas juga wajar diketengahkan sebagai langkah memelihara kepelbagaian warisan budaya serta memperkukuh identiti masyarakat tempatan di kawasan Beting Maro.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan perancangan pembinaan sebuah pusat komuniti di Kampung Beladin yang melibatkan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi menyokong pembangunan komuniti setempat.
Pada majlis sama, Pengarah Urusan Sri Tenun Gedong, Ramtiniwaiti Ramlee berkata, kursus asas tenunan songket yang berlangsung selama enam bulan itu memberi pendedahan dan latihan kepada peserta untuk menguasai kemahiran asas dalam bidang berkenaan.
Tambah Ramtiniwaiti, seni tenunan songket memerlukan kemahiran, ketelitian dan kesabaran, justeru bakat peserta yang dikenal pasti sepanjang latihan perlu terus diasah bagi menghasilkan produk berkualiti tanpa mengabaikan keaslian seni warisan tersebut.
“Golongan belia, khususnya penduduk tempatan yang berminat dalam bidang tenunan songket, digalakkan mendapatkan latihan dan mengembangkan bakat masing-masing supaya warisan ini terus diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.
Ramtiniwaiti turut berharap lebih ramai masyarakat tempatan tampil mempelajari kemahiran berkenaan bagi memastikan seni tenunan songket terus berkembang dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Sementara itu, Razaili merakamkan penghargaan kepada tenaga pengajar dan pihak Sri Tenun Gedong atas komitmen berkongsi ilmu serta kemahiran tenunan songket dengan penduduk di kawasan Beladin.
Majlis itu turut dihadiri Pemanca Daerah Pusa, Rosli Uji; Penghulu Pusa, Bujang Beni; Penghulu Beladin, Zakaria Mos serta Ketua Pemuda PBB Cawangan Beting Maro, Awang Nashfarini Awang Sarbini.



