
MELAKA – MCA menegaskan tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi parti.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sebarang pengumuman calon tanpa rundingan dan persetujuan MCA adalah tidak boleh diterima, apatah lagi apabila kerusi yang sebelum ini ditandingi parti itu didakwa diserahkan kepada parti lain.
Beliau berkata, MCA juga tidak dimaklumkan bahawa majlis BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) malam tadi akan melibatkan pengumuman calon, sebaliknya dimaklumkan ia hanya majlis pelancaran jentera pilihan raya.
“Jika mereka umumkan pun, kami tidak akan mengakuinya. Jika Pengerusi MCA sendiri tidak menandatanganinya, bagaimana ia boleh diiktiraf?
“Calon mestilah datang daripada cadangan pucuk pimpinan parti. Ini adalah prosedur operasi standard (SOP) setiap parti politik,” katanya kepada media berbahasa Cina di luar MITC semasa majlis itu, malam tadi.
Terdahulu, Ka Siong bersama kepimpinan MCA dilaporkan meninggalkan majlis sebelum ucapan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pengumuman calon.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, apa yang berlaku menimbulkan tanggapan bahawa MCA hanya berdiam diri dan mengalah, sedangkan parti itu mempunyai maruah dan telah bersama UMNO selama berpuluh-puluh tahun sebagai sahabat lama.
Menurutnya, rundingan pembahagian kerusi di Melaka masih belum dimuktamadkan, termasuk dua kerusi yang sebelum ini ditandingi MCA, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kepimpinan parti.
Beliau bagaimanapun berkata, masih ada ruang untuk perkara itu diperbetulkan memandangkan masih berbaki beberapa hari sebelum hari penamaan calon, dan menggesa kepimpinan tertinggi BN di peringkat pusat campur tangan bagi menyelesaikan pertikaian secara adil.
BN malam tadi mengumumkan 21 calon yang akan bertanding pada PRN Melaka, termasuk dua wakil MCA iaitu penyandang DUN Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem dan penyandang DUN Kelebang, Datuk Lim Ban Hong.







