
MIRI – Seramai 2,575 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada 11 sekolah di sekitar Miri menerima sumbangan alat tulis sebagai persediaan menghadapi peperiksaan masing-masing.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, sumbangan menerusi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Miri itu bertujuan memberikan sokongan moral serta membantu melengkapkan keperluan asas pelajar menjelang peperiksaan.
Menurutnya, walaupun sumbangan berkenaan sederhana, ia diharap dapat menyuntik semangat dan meningkatkan keyakinan pelajar untuk menghadapi peperiksaan dengan persediaan yang lebih baik.
“Saya mahu para pelajar tahu bahawa kita semua sentiasa percaya kepada semangat dan kemampuan setiap seorang daripada mereka.
“Tempoh peperiksaan ini bukan sekadar tentang keputusan yang bakal diterima kelak, tetapi juga mengenai pembentukan mentaliti untuk sentiasa berusaha melakukan yang terbaik,” katanya.
Choon Man berkata, beliau turut berkesempatan melawat lima sekolah di sekitar Miri bagi bertemu calon peperiksaan serta menyampaikan kata-kata semangat kepada mereka.
Sekolah berkenaan ialah Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri, SMK Baru, SMK Pujut dan SMK Lutong.
Menurutnya, persediaan menghadapi peperiksaan bukan sahaja penting dari aspek akademik, malah turut membantu membentuk jati diri, ketabahan dan disiplin pelajar dalam menghadapi cabaran.
Beliau berkata, sikap positif serta kesungguhan yang diterapkan sepanjang tempoh persediaan peperiksaan wajar diteruskan apabila pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau memasuki alam pekerjaan.
Dalam pada itu, Choon Man turut menasihatkan calon supaya mengekalkan fokus serta memberikan perhatian kepada kesihatan diri, termasuk mendapatkan rehat mencukupi dan mengamalkan pemakanan seimbang.
“Masa mungkin semakin suntuk, tetapi ruang untuk terus berusaha sentiasa ada.
“Jagalah kesihatan diri kerana kecergasan tubuh badan dapat membantu anda menduduki peperiksaan dengan lebih selesa.
“Berdoa, berusaha dan bertawakal. Semoga Tuhan memberkati perjuangan adik-adik semua,” katanya.
Beliau berharap sumbangan berkenaan dapat memberikan dorongan kepada semua calon untuk terus berusaha dan menghadapi peperiksaan dengan penuh keyakinan.





