MELAKA – Kerajaan masih meneliti keperluan mengehadkan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan pegawai kerajaan bagi mengelakkan risiko terhadap keselamatan dan kedaulatan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, penelitian itu tidak bermaksud kerajaan mahu mengharamkan aplikasi berkenaan kepada semua pengguna, sebaliknya memberi tumpuan kepada risiko keselamatan, terutama membabitkan pergerakan pegawai yang menguruskan hal berkaitan keselamatan negara.
Beliau berkata, kebimbangan terhadap penggunaan Waze bukan hanya berkaitan fungsi navigasinya, tetapi turut mengambil kira hubung kait aplikasi itu dengan syarikat yang mempunyai ibu pejabat di Israel serta implikasi perundangan sekiranya berlaku pertikaian.
“Saya mahu jelaskan mengapa isu Waze dibangkitkan. Pertama isu ini bukan semata-mata berkaitan aplikasi Waze tetapi kaitan Waze dengan sebuah syarikat yang mempunyai ibu pejabat di Israel.
“Kedua, persoalan tentang bidang kuasa undang-undang sekiranya berlaku pertikaian dengan syarikat tersebut. Dalam keadaan tertentu, perjanjian yang melibatkan syarikat antarabangsa boleh menimbulkan persoalan tentang mahkamah yang mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan pertikaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Melaka bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.
Hadir sama Setiausaha DAP, Anthony Loke, Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR merangkap Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari serta Pengerusi PH Melaka, D Adly Zahari.
Anwar berkata, keputusan berhubung kemungkinan larangan penggunaan Waze secara menyeluruh hanya akan dipertimbangkan selepas kerajaan memastikan aplikasi alternatif yang tersedia mampu memenuhi keperluan pengguna.
Beliau turut mengakui pelaksanaan langkah berkaitan Waze masih mempunyai kelemahan dan kerajaan mengambil maklum maklum balas orang ramai, khususnya mengenai prestasi aplikasi navigasi tempatan, TuJu yang memerlukan penambahbaikan.
“Saya tidak mengatakan bahawa keputusan yang dibuat sebelum ini merupakan keputusan yang paling sempurna. Masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.
“Namun, kita juga tidak boleh menyerahkan pertimbangan keselamatan dan kepentingan negara kepada pihak luar tanpa menilai risikonya. Jika terdapat alternatif yang lebih baik, kerajaan akan menelitinya,” katanya.
Perdana Menteri berkata, setiap keputusan berkaitan perkara itu perlu mengambil kira kepentingan negara serta pendirian Malaysia terhadap tindakan Israel.
Katanya, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat berhak menentukan pendiriannya sendiri, termasuk dalam isu Palestin.
Dalam perkembangan lain, Anwar memberi jaminan harga petrol RON95 akan kekal pada RM1.99 seliter sepanjang Kerajaan MADANI memegang mandat untuk mentadbir negara, walaupun harga minyak mentah dunia meningkat dengan ketara.
Beliau berkata, kerajaan bersedia menyerap kenaikan kos berkenaan bagi memastikan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, tidak terbeban dengan peningkatan harga bahan api.
“Lebih baik kerajaan terbeban daripada membebankan rakyat,” katanya.
Pada majlis sama, Anwar mengumumkan 21 calon PH yang akan bertanding pada PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 14 November ini.








