
PUTRAJAYA – Keselamatan negara tidak boleh dipandang ringan hanya kerana risiko sesuatu aplikasi digital belum dibuktikan dieksploitasi, terutama apabila data lokasi berpotensi mendedahkan corak pergerakan penjawat awam dan maklumat berkaitan institusi strategik.
Penganalisis keselamatan, hubungan antarabangsa dan sosiopolitik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, Malaysia mempunyai hak menyekat penggunaan teknologi asing dalam urusan rasmi sekiranya terdapat penilaian risiko munasabah yang membabitkan keselamatan pertahanan, penguatkuasaan dan maklumat strategik kerajaan.
Menurut beliau, perdebatan mengenai larangan penggunaan Waze oleh penjawat awam tidak seharusnya terhenti pada persoalan asal usul syarikat itu, sebaliknya perlu mengambil kira tanggungjawab kerajaan melindungi kepentingan nasional.
“Berdasarkan pendekatan ini, Malaysia mempunyai hak menetapkan sekatan terhadap penggunaan teknologi asing dalam urusan rasmi jika terdapat penilaian risiko yang munasabah, khususnya apabila melibatkan keselamatan pertahanan, penguatkuasaan dan maklumat strategik kerajaan,” katanya.
“Isu Waze seharusnya menjadi pemangkin kepada pembentukan dasar keselamatan digital yang lebih menyeluruh dan berpandangan jauh. Dalam era persaingan geopolitik berasaskan teknologi, ancaman terhadap keselamatan negara tidak semestinya bermula dengan pencerobohan sempadan atau serangan ketenteraan.
Ancaman juga boleh muncul melalui eksploitasi maklumat yang membolehkan pihak tertentu memahami, mempengaruhi atau menyasarkan kepentingan strategik sesebuah negara tanpa perlu hadir secara fizikal di wilayahnya,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Beliau berkata demikain bagi mengulas dakwaan Ketua Komunikasi Parti PPP, Jeyaratnam Manium, yang mempertikaikan tindakan kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze oleh penjawat awam, sedangkan aplikasi itu sebagai syarikat yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel
Sehubungan itu, Nur Ashikin berkata, keupayaan Malaysia mempertahankan kedaulatan digital perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha mempertahankan kedaulatan dan keselamatan nasional secara keseluruhan
Menurut beliau, data lokasi bukan sekadar menunjukkan kedudukan seseorang pengguna, sebaliknya berpotensi mendedahkan pola kehadiran individu di sesuatu kawasan, malah maklumat itu menjadi lebih sensitif apabila melibatkan penjawat awam, anggota keselamatan atau individu yang mempunyai akses kepada institusi strategik negara.

“Apabila data tersebut dikumpulkan secara berterusan dan digabungkan dengan sumber maklumat lain, pihak tertentu berpotensi membina profil tingkah laku individu tanpa memerlukan akses secara langsung kepada dokumen sulit atau sistem keselamatan kerajaan
“Risiko itu menunjukkan ancaman keselamatan negara pada era digital bukan lagi terbatas kepada pencerobohan fizikal atau kecurian dokumen rahsia, sebaliknya turut merangkumi kemungkinan eksploitasi maklumat komersial yang dikumpulkan melalui perkhidmatan digital,” katanya.
Dari perspektif hubungan antarabangsa, Nur Ashikin berpendapat, pelbagai pihak perlu memahami bahawa kedaulatan negara pada abad ke-21 tidak lagi terbatas kepada kawalan terhadap wilayah daratan, perairan dan ruang udara.
Sebaliknya, beliau berkata, kedaulatan turut melibatkan keupayaan mempertahankan autonomi negara dalam ruang digital, khususnya apabila maklumat berkaitan rakyat, institusi dan aktiviti strategik diproses melalui rangkaian teknologi global.
“Namun, usaha memperkukuh kedaulatan digital tidak seharusnya diterjemah melalui penolakan menyeluruh pada teknologi asing. Pendekatan lebih berkesan, bangunkan kapasiti negara untuk menilai risiko, kawal akses maklumat sensitif, kuatkuasakan perlindungan data dan memastikan hubungan dengan penyedia teknologi antarabangsa tidak mewujudkan kebergantungan yang boleh menjejaskan kepentingan nasional.
“Ukuran sebenar kedaulatan digital bukan terletak pada berapa banyak aplikasi asing yang diharamkan, tetapi pada sejauh mana Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengawal, melindungi dan mempertahankan data yang mempunyai kepentingan strategik kepada negara.
“Sekiranya kerajaan hanya menumpukan perhatian kepada larangan penggunaan aplikasi tertentu tanpa menangani kelemahan struktur dalam tadbir urus data, risiko keselamatan yang sama berpotensi berulang melalui platform teknologi lain,” katanya.




