
PUTRAJAYA – Keputusan kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze oleh penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi membuka ruang untuk masyarakat memahami kepentingan keselamatan data, ketika penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) semakin meluas.
Langkah itu bukan sekadar berkaitan penggunaan satu aplikasi, sebaliknya mengingatkan bahawa kemudahan teknologi perlu disertai kesedaran mengenai perlindungan maklumat, terutama apabila data menjadi semakin penting dalam urusan rasmi dan kehidupan seharian.
Ketua Pegawai Digital Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Nurfadhlina Mohd Sharef berkata, pengguna perlu memahami bahawa setiap aplikasi digital mempunyai kaedah tersendiri dalam mengumpul, memproses dan mengurus data.
Menurutnya, maklumat seperti lokasi, laluan perjalanan dan tempat yang kerap dikunjungi mungkin kelihatan biasa, namun apabila dikumpulkan dalam tempoh tertentu, ia boleh mendedahkan corak pergerakan serta rutin seseorang.
“Apabila kita menggunakan aplikasi digital, kita bukan sekadar menggunakan teknologinya. Kita mungkin turut berkongsi data yang mempunyai nilai dan risiko tersendiri. Isu ini bukan sekadar mengenai satu aplikasi navigasi. Sebaliknya, membuka mata masyarakat tentang risiko yang mungkin tersembunyi di sebalik kemudahan teknologi digital.
“Satu aspek yang mendapat perhatian ialah kedudukan Waze Mobile Ltd. sebagai syarikat yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel. Ini menimbulkan persoalan tentang kemungkinan akses kepada maklumat berdasarkan undang-undang asing.
“Walau bagaimanapun, risiko perundangan tersebut tidak bermaksud data pengguna Malaysia telah terbukti diserahkan kepada kerajaan Israel,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Dalam pada itu, Nurfadhlina berkata, kesedaran mengenai keselamatan data perlu diperluas melangkaui aplikasi navigasi kerana penggunaan AI kini turut membabitkan pemprosesan dokumen, analisis maklumat dan pelaksanaan tugasan secara automatik.
Menurutnya, perkembangan itu memberi manfaat besar kepada produktiviti, tetapi pengguna perlu memastikan maklumat sulit, data peribadi dan dokumen rasmi tidak dikongsi sewenang-wenangnya dengan aplikasi yang belum mendapat kebenaran.

“AI yang pintar tidak semestinya sentiasa betul. Walaupun mudah digunakan, tidak semestinya selamat untuk semua jenis maklumat. Lebih membimbangkan, AI boleh menghasilkan jawapan yang kelihatan sangat meyakinkan walaupun fakta yang diberikan tidak tepat.
“Oleh itu, pengguna perlu memahami bukan sahaja apa yang mampu dilakukan oleh AI, tetapi juga batasan dan risiko penggunaannya. Teknologi perlu memberi manfaat kepada manusia, bukan menyebabkan manusia kehilangan kawalan terhadap maklumat dan keputusan,” katanya.
Dalam konteks institusi pendidikan dan perkhidmatan awam, Nurfadhlina berpandangan, penggunaan AI perlu disertai garis panduan yang jelas, kawalan akses data serta pengawasan manusia bagi memastikan teknologi itu digunakan secara bertanggungjawab.
Beliau berkata, perkembangan AI agentik yang berupaya merancang tugasan, menggunakan aplikasi lain dan melaksanakan tindakan secara automatik turut memerlukan kawalan lebih rapi, terutama apabila sistem berkenaan mempunyai akses kepada maklumat sensitif.
“Kedaulatan data mungkin kedengaran seperti istilah teknikal, tetapi maksudnya mudah. Kita perlu tahu dan mempunyai kawalan yang sewajarnya terhadap siapa yang mengurus data kita, di mana data diproses, bagaimana ia digunakan dan undang-undang mana yang terpakai.
“Justeru, pemilihan aplikasi serta penyedia AI perlu mengambil kira keselamatan, privasi, lokasi, selain kaedah pemprosesan data, kos mahupun kemudahan penggunaan. Penggunaan teknologi tempatan juga boleh menjadi salah satu pilihan meningkatkan kawalan terhadap data. Namun, aplikasi tempatan mahupun antarabangsa tetap perlu dinilai berdasarkan tahap keselamatan dan pematuhan yang sebenar.
“Isu Waze memberikan peringatan bahawa risiko teknologi kadangkala tidak kelihatan kepada pengguna biasa. Sesuatu aplikasi mungkin kelihatan selamat, popular dan mudah digunakan, tetapi masih mempunyai implikasi terhadap privasi, keselamatan atau bidang kuasa perundangan,” katanya.




