KUALA LUMPUR – Lonjakan pengguna aplikasi navigasi tempatan TuJu daripada 200,000 kepada 800,000 dalam tempoh singkat mendorong Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mempergiat usaha meningkatkan kapasiti dan kestabilan sistem berkenaan.
Ketua Pengarah LLM, Ir Mohd Hadzmir Yusoff berkata, peningkatan sehingga empat kali ganda itu memberi cabaran kepada kapasiti penyimpanan dan pemprosesan data sedia ada.
Menurutnya, LLM bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB), kini memberi tumpuan kepada pemulihan fungsi navigasi serta penambahbaikan sistem bagi memastikan aplikasi itu dapat menampung pertambahan pengguna.
“Gangguan yang berlaku melibatkan fungsi navigasi, manakala fungsi lain masih beroperasi seperti biasa,” katanya, seperti dipetik berita tempatan hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan tempoh yang diperlukan untuk memulihkan sepenuhnya fungsi navigasi yang terjejas.
Mengulas persediaan menghadapi lonjakan pengguna sebelum pengumuman kerajaan mengenai penggunaan aplikasi navigasi, beliau berkata, keperluan untuk meningkatkan kapasiti sistem sedang diperincikan.
Antara langkah yang diberi perhatian ialah meningkatkan ketepatan maklumat laluan, memperkukuh pemantauan prestasi sistem dan mengurangkan risiko gangguan berulang.
Usaha berkenaan turut membabitkan penyelarasan dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan GovTech Malaysia.
Menurut Mohd Hadzmir, kerjasama itu bertujuan memperkukuh keselamatan data serta meningkatkan kebolehpercayaan TuJu sebagai aplikasi navigasi alternatif tempatan.
TuJu yang dilancarkan pada 26 November 2025 menyediakan maklumat trafik lebuh raya, kemudahan jalan raya dan bantuan kecemasan kepada pengguna.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengeluarkan arahan melarang penggunaan Waze bagi urusan rasmi penjawat awam berkuat kuasa 20 Oktober lalu susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) atas faktor keselamatan data.
Bagaimanapun, Menteri Digital, Gobind Singh Deo menjelaskan penjawat awam tidak diwajibkan menggunakan TuJu sahaja, sebaliknya dibenarkan menggunakan aplikasi lain termasuk Google Maps.
Larangan penggunaan Waze itu juga tidak terpakai kepada orang awam yang menggunakannya bagi urusan peribadi.




