
KUCHING – Sarawak akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi memperincikan pembangunan Zon Ekonomi Khas Sibu (SSEZ), termasuk penyediaan insentif pelaburan, pusat pemudahcaraan pelaburan sehenti dan infrastruktur sokongan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama itu penting untuk memastikan cadangan pembangunan SSEZ mampu menarik pelaburan berkualiti dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi di wilayah tengah Sarawak.
Menurutnya, pembangunan zon ekonomi berkenaan akan memberikan tumpuan kepada sektor pembuatan bernilai tinggi, pemprosesan hiliran, industri berasaskan pertanian, logistik dan industri hijau.
“Kita akan bekerjasama dengan agensi kerajaan Persekutuan dan Sarawak yang berkaitan dalam aspek insentif pelaburan, pusat pemudahcaraan pelaburan sehenti serta infrastruktur sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Rabu.
Awang Tengah merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, cadangan penubuhan SSEZ telah diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika Program Sarawakku Sayang di Sibu pada 11 Julai lalu.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bertujuan membuka potensi ekonomi wilayah tengah Sarawak dengan memperluas peluang pelaburan, pembangunan industri dan penyertaan syarikat tempatan.
Dalam pada itu, kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan MADANI 2027 turut menyatakan komitmen untuk memulakan rundingan rasmi dengan kerajaan Sarawak bagi memuktamadkan kerangka pembangunan SSEZ.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan berkenaan pada 9 Oktober lalu memaklumkan rundingan itu akan merangkumi kerangka insentif pelaburan, pusat pemudahcaraan sehenti serta keperluan infrastruktur strategik.
Awang Tengah berkata, penyelarasan antara kerajaan Sarawak dengan kerajaan Persekutuan akan memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan zon ekonomi itu dapat memenuhi keperluan industri serta pelabur.
Menurutnya, pembangunan SSEZ turut dijangka membuka ruang kepada perusahaan tempatan untuk menyertai rantaian bekalan industri, khususnya dalam sektor pembuatan, pemprosesan dan perkhidmatan sokongan.
Beliau berkata, usaha berkenaan disasarkan untuk menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan pekerjaan berkemahiran serta memperluas peluang perniagaan.
Pembangunan SSEZ juga dijangka memperkukuh kedudukan Sibu sebagai hab ekonomi dan perindustrian yang lebih berdaya saing di wilayah tengah Sarawak.





