
KUCHING – Sarawak akan memperkukuh kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan agensi berkaitan bagi mempercepat pelaksanaan projek pelaburan serta meningkatkan daya saing industri negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama berkenaan penting susulan pencapaian Sarawak yang merekodkan kira-kira RM11.2 bilion pelaburan diluluskan bagi sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan sepanjang separuh pertama 2026.
Menurutnya, sebanyak 61 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan itu merupakan pelaburan domestik, selain melibatkan pengembangan dan pelaburan semula oleh sebahagian pelabur asing sedia ada.
“Keutamaan segera kita ialah memastikan pelaburan yang telah diluluskan dapat diterjemahkan kepada projek yang beroperasi,” katanya menerusi teks ucapan yang diterjemahkan daripada bahasa Inggeris.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pada Rabu.
Awang Tengah merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, kementeriannya bersama-sama InvestSarawak dan MIDA akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menangani isu pelaksanaan projek, khususnya melibatkan tanah, utiliti, infrastruktur serta kelulusan kawal selia.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan pelaburan yang diluluskan dapat direalisasikan dan seterusnya menjana peluang pekerjaan serta aktiviti ekonomi kepada masyarakat tempatan.
Beliau berkata, pencapaian pelaburan pada separuh pertama tahun ini merupakan kesinambungan daripada jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM116.8 bilion yang direkodkan sepanjang 2021 hingga 2025.
Dalam sektor pembuatan, sebanyak 62 peratus daripada projek yang diluluskan berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
Menurutnya, kerajaan Sarawak turut memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh infrastruktur perindustrian bagi menyediakan persekitaran yang lebih kondusif kepada pelabur.
Di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), sebanyak RM199.62 juta telah diluluskan bagi 25 projek taman perindustrian di seluruh Sarawak, termasuk kawasan luar bandar.
Beliau berkata, pembangunan taman perindustrian perlu mengambil kira permintaan sebenar pelabur, daya maju komersial, kelestarian alam sekitar serta kesiapsiagaan infrastruktur.
Dalam pada itu, Awang Tengah berkata, kerjasama antara kerajaan Sarawak dengan agensi Persekutuan turut diperkukuh melalui Program Rantaian Bekalan dan Penyumberan Global Sarawak 2026.
Program yang diterajui kementeriannya bersama MIDA itu bertujuan menghubungkan syarikat tempatan dengan peluang perniagaan serta rantaian bekalan serantau dan antarabangsa.
Menurutnya, kerajaan Sarawak turut memberi penekanan kepada pembangunan industri bernilai tinggi, termasuk tenaga bersih, petrokimia, semikonduktor, elektronik dan industri pembuatan termaju.
“Kita akan terus memperkukuh infrastruktur perindustrian, pemudahcaraan pelaburan dan keupayaan tenaga kerja, di samping meningkatkan kerjasama antara pelabur utama, perusahaan tempatan serta institusi teknikal,” katanya.
Awang Tengah berkata, usaha itu diharap dapat menggalakkan lebih banyak penyertaan syarikat Sarawak dalam aktiviti industri bernilai tinggi serta membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat negeri ini.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak



