Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh dihukum penjara 8 bulan

KUANTAN – Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,600 antara tahun 2016 hingga 2023.

Hakim Sazlina Safie menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap tertuduh, Mohd Azhar Mohd Yusoff, 56.

“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua elemen kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi semua 46 pertuduhan.

“Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan atas kesemua pertuduhan.

“Tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan bermula dari tarikh sabitan, dengan semua hukuman penjara berjalan serentak,” katanya ketika membacakan penghakimannya hari ini, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan, susulan permohonan yang dikemukakan peguamnya, Datuk M Athimulan.

Mahkamah kemudian memerintahkan Mohd Azhar membayar wang jaminan tambahan sebanyak RM5,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM30,000.

Mohd Azhar yang berpakaian kemeja merah jambu dan blazer kelabu, kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan.

Pada 7 September 2023, Mohd Azhar mengaku tidak bersalah terhadap 46 pertuduhan menerima wang melalui pindahan dalam talian ke akaun banknya antara Mac 2019 hingga Januari 2023.

Pada 29 Jun tahun ini, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan keterangan yang mencukupi bagi membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Dalam prosiding itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi Shah Abd Razak dan Ifa Sirhu Samsudin manakala Mohd Azhar diwakili Athimulan dan Datuk Bob Arumugam.

Terdahulu, ketika mengemukakan rayuan mitigasi, Athimulan memohon mahkamah mengenakan hukuman denda dan bukannya penjara, dengan alasan sabitan itu sudah membawa kesan serius terhadap anak guamnya.

“Anak guam saya berdepan risiko dibuang kerja daripada pasukan polis, kehilangan pencen serta faedah lain yang dikumpulkan sepanjang 33 tahun perkhidmatannya, selain reputasi dan kedudukan sosialnya terjejas.

“Sebagai penjawat awam dan pegawai polis, beliau berisiko kehilangan segala-galanya,” katanya.

Athimulan berkata, jumlah wang yang terbabit bukanlah sehingga jutaan ringgit, selain keterangan menunjukkan wang berkenaan digunakan bagi program tanggungjawab sosial korporat dan aktiviti kemasyarakatan di Temerloh.

Beliau berkata, hukuman denda yang bersesuaian memadai sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat umum.

Bagaimanapun, Radzi Shah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat, termasuk penjara dan denda maksimum, dengan mengambil kira keseriusan kesalahan serta kedudukan Mohd Azhar sebagai pegawai kanan polis.

“Tertuduh yang ketika itu adalah Ketua Polis Daerah Temerloh memegang jawatan tinggi dalam hierarki pasukan polis, namun menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.

“Kesalahan itu membabitkan 46 pertuduhan yang dilakukan dalam tempoh hampir empat tahun.

“Perbuatan tertuduh memberi implikasi serius terhadap reputasi pasukan polis pada pandangan masyarakat, sekali gus mewajarkan hukuman berbentuk pencegahan,” katanya.

Selepas hukuman dijatuhkan, Athimulan memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dan memaklumkan pihak pembelaan akan memfailkan rayuan pada minggu ini.

Related Posts

RM427 juta SKAS manfaatkan lebih 823,000 penerima di Sarawak

KUCHING – Sebanyak RM427 juta telah dibelanjakan menerusi pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), sekali gus memanfaatkan 823,073 penerima di seluruh negeri setakat September 2026. Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pas gelojoh urus PN, ada agenda jahat bunuh Bersatu – Harris Idaham

ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas tuduhan Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mendakwa Bersatu bertindak ‘menikam belakang’ susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RM427 juta SKAS manfaatkan lebih 823,000 penerima di Sarawak

RM427 juta SKAS manfaatkan lebih 823,000 penerima di Sarawak

Pas gelojoh urus PN, ada agenda jahat bunuh Bersatu – Harris Idaham

Pas gelojoh urus PN, ada agenda jahat bunuh Bersatu – Harris Idaham

RM6 bilion diluluskan bagi 1,146 projek Persekutuan di Sarawak

RM6 bilion diluluskan bagi 1,146 projek Persekutuan di Sarawak

Buruh dipenjara tujuh tahun, dua sebatan angkara libas polis guna parang

Buruh dipenjara tujuh tahun, dua sebatan angkara libas polis guna parang

Mahasiswa berhak bersuara, jangan pertahan pemimpin secara membuta tuli – Mahfuz

Mahasiswa berhak bersuara, jangan pertahan pemimpin secara membuta tuli – Mahfuz

Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh dihukum penjara 8 bulan

Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh dihukum penjara 8 bulan