NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar menegaskan mahasiswa tidak seharusnya dikecam atau dihukum hanya kerana berani membangkitkan persoalan berkaitan rasuah, integriti dan keadilan dalam negara.
Beliau berkata, pandangan mahasiswa perlu dijawab menggunakan fakta dan hujah yang berasas, bukannya dengan kecaman semata-mata, terutama apabila melibatkan isu berkepentingan awam.
Menurutnya, beliau menzahirkan solidariti kepada mahasiswi Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit yang berdepan kecaman selepas membangkitkan persoalan mengenai kutipan derma bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar denda RM50 juta.
“Dalam sebuah negara demokrasi, mahasiswa tidak sepatutnya dihukum hanya kerana berani mempersoalkan tokoh politik.
“Jika hujahnya salah, jawab dengan fakta. Jika bahasanya keras, tegur bahasanya. Jangan pecahkan cermin hanya kerana kita tidak suka bayangan yang dipantulkannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz turut mempersoalkan sikap sesetengah ahli politik yang didakwa mudah melenting apabila mahasiswa menyuarakan pandangan kritikal terhadap pemimpin.
Beliau berkata, masyarakat perlu menolak politik identiti yang meletakkan kesetiaan kepada parti, kaum atau pemimpin mengatasi prinsip kebenaran dan keadilan.
Katanya, prinsip tidak seharusnya berubah mengikut kepentingan politik atau pihak yang melakukan kesalahan.
“Kalau pemimpin lawan melakukan kesalahan, kita mahu dia dihukum. Kalau pemimpin sendiri melakukan kesalahan, kita mula mencari alasan.
“Prinsip bukan baju parti yang boleh ditukar mengikut kepentingan. Prinsip ialah kompas yang mesti menunjukkan arah yang sama, walau siapa pun yang memegang kuasa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru mahasiswa di seluruh negara supaya terus berani berfikir secara kritis, menyemak fakta dan menyuarakan pandangan terhadap sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa serta budaya mengagungkan pemimpin secara membuta tuli.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan golongan mahasiswa supaya menghindari fitnah dan memastikan setiap pandangan yang dikemukakan berlandaskan fakta.
“Jangan biarkan ketakutan terhadap kecaman membunuh keberanian intelektual anda,” katanya.
Mahfuz berkata, universiti seharusnya menjadi medan melahirkan generasi yang berani bertanya, menegur dan mempertahankan prinsip, bukannya sekadar melahirkan pengikut yang hanya tahu mengangguk.
Beliau turut menggesa masyarakat membebaskan pemikiran daripada belenggu politik identiti, ketaksuban dan kesetiaan membuta tuli terhadap mana-mana pemimpin.
“Negara ini tidak memerlukan generasi yang sekadar pandai mempertahankan pemimpin.
“Negara memerlukan generasi yang berani mempertahankan kebenaran walaupun kebenaran itu tidak menyebelahi pemimpin yang mereka sendiri sokong,” katanya.


