
KUCHING – Sebanyak RM6 bilion diluluskan bagi melaksanakan 1,146 projek pembangunan yang dibiayai kerajaan Persekutuan di Sarawak menerusi Pelan Rolling Pertama 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada keseluruhan peruntukan berkenaan, sebanyak RM3.2 bilion atau 53 peratus telah dibelanjakan setakat ini.
Menurutnya, pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan itu terus menunjukkan kemajuan dengan 256 projek berjaya disiapkan, manakala 890 lagi berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
“Sebanyak 1,146 projek yang dibiayai kerajaan Persekutuan dengan peruntukan RM6 bilion telah diluluskan di bawah Pelan Rolling Pertama 2026 RMK13.
“Daripada jumlah itu, RM3.2 bilion atau 53 peratus telah dibelanjakan, dengan 256 projek berjaya disiapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Uggah merangkap merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II Sarawak berkata, pelaksanaan projek pembangunan yang dibiayai kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan perlu diberikan perhatian bagi memastikan peruntukan yang diluluskan dapat dimanfaatkan secara berkesan.
Menurutnya, pencapaian sesuatu rancangan pembangunan bukan hanya bergantung kepada jumlah peruntukan, sebaliknya turut memerlukan pelaksanaan yang teratur serta hasil yang dapat dinikmati rakyat.
“Keyakinan tidak dibina melalui janji semata-mata. Ia diperoleh melalui keputusan, diperkukuh menerusi tindakan dan dikekalkan melalui hasil yang dicapai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua pegawai pengawal dan agensi pelaksana supaya memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan segera, selain mengurus penggunaan peruntukan secara cekap.
Menurutnya, pemantauan keberhasilan projek perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan mencapai matlamat yang ditetapkan.
Sementara itu, bagi projek yang dibiayai kerajaan Sarawak di bawah RMK13, sebanyak RM52.5 bilion diluluskan sebagai siling peruntukan untuk melaksanakan 1,203 projek.
Daripada jumlah tersebut, 832 merupakan projek pembangunan fizikal, manakala 371 lagi melibatkan inisiatif bukan fizikal termasuk geran, pelaburan strategik dan program pembangunan.
Bagi 2026, sebanyak RM9.7 bilion diperuntukkan dengan RM5.6 bilion atau 58 peratus telah dibelanjakan.
Setakat ini, sebanyak 86 projek yang dibiayai kerajaan Sarawak berjaya disiapkan, manakala baki 1,117 projek berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak



